'Jangan salah guna kebebasan berhimpun ancam keselamatan orang lain'
- Suara Keadilan

- Sep 13
- 1 min read

Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi (gambar), mengecam sekeras-kerasnya insiden keganasan yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika beliau terlibat dalam operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Katanya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana anggota polis hanya menjalankan tugas atas perintah mahkamah dan bertindak menjaga ketenteraman awam.
"Keselamatan masyarakat bergantung pada kepatuhan semua pihak terhadap peraturan dan undang-undang.
"Kejadian ini bukan sekadar mengakibatkan kecederaan terhadap anggota polis, malah menggugat institusi keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan ketenteraman awam," kata Karen dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, hak berhimpun dan bersuara sesiapa pun yang mahu menyuarakan pendapat dijamin dalam Perlembagaan, namun ia tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan keselamatan orang lain.
"Kebebasan berhimpun dan bersuara harus dilaksana dengan penuh tanggungjawab, bukannya disalahguna sehingga mengancam keselamatan orang lain.
"Justeru, saya mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas demi menjamin kesejahteraan rakyat," tegasnya.
Dalam pada itu, Karen mendoakan agar ACP Sulizmie segera sembuh dan kembali berkhidmat untuk negara.
"Saya menzahirkan doa dan harapan agar Asisten Komisioner Sulizmie Affendy dikurniakan kesembuhan segera daripada kecederaan yang dialami serta dapat kembali meneruskan khidmat bakti kepada negara," katanya.
Karen menegaskan KEADILAN berdiri teguh bersama pasukan keselamatan yang setiap hari berkorban demi menjaga keamanan, kedaulatan undang-undang, dan kesejahteraan rakyat.
Untuk rekod, kelmarin Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengalami kecederaan ketika rempuhan penduduk sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru.
Sulizmie cedera di kepala dipercayai akibat dibaling objek keras. Susulan itu beberapa peserta himpunan di Kampung Sungai Baru itu telah ditahan untuk membantu siasatan.









Comments