Tindakan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor yang konon mahu mempertahankan nadir bumi (REE) di Kedah daripada dirompak oleh Kerajaan Persekutuan melalui hartawan berasal dari Indonsia, Reza Khalid amatlah tidak bertanggungjawab.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya meminta Sanusi menjawab terlebih dahulu berkenaan isu kecurian REE di tanah milik Menteri Besar Incorporated di bawah kawalan beliau sendiri.
Katanya, Sanusi sebaik baiknya menjelaskan dengan berfakta dakwaan beliau pernah dilihat bersama Hwang Zhi Yi, warganegara China yang ditangkap kerana mencuri REE di Bukit Enggang, Sik.
"Mula mula kata tak kenai orang ni (Zhi Yi). Saifuddin habaq saja, saya tak kenai. Yang ni Perbadanan Menteri Besar, saya Menteri Besar, tak kenal.
"Kelmarin saya tunjuk gambar. Dia kata, saya kenai ni. Dia mai datang raya. Ada sekali. Sekarang hang kenai pulak?
"Dalam pada kenal itu dia kata Anwar pun bawa seorang kawan dia. Nama Reza Khalid. Saya baru telefon Datuk Seri Anwar, tanya kenal ke Reza Khalid? Dia kata kenal. Dia multi billionaire dari Indonesia, seorang ahli perniagaan masyhur di Indonesia," katanya dalam ceramah di Sungai Petani, semalam.
Tegas Saifuddin, berbanding Hwang Zhi Yi yang masuk ke hutan simpan mencuri REE dan tidak diketahui asal usulnya, kata Saifuddin, Reza Khalid mempunyai banyak harta dan tidak ada masalah untuk masuk ke Malaysia atau Kedah meninjau peluang pelaburan.
"Dia meniaga minyak, gas, ribu juta punya aset kekayaan.
"Sanusi kata Datuk Seri (Anwar) bawa dia (Reza) mai jumpa untuk minta REE. Yang berlaku adalah dengan Reza Khalid ini menghadap Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.
"Habis menghadap balik. Boleh MB reka, kata Anwar bawa Reza nak minta REE (kepada MB).
"Sanusi ini manusia paling benci dengan Anwar. Batang tubuh Anwar dia benci. Kalau dia benci macam tu, boleh fikir ke Anwar nak pergi jumpa dia minta REE," kata Saifuddin lagi.
Comments