Jangan politikkan keganasan di sekolah, Muhyiddin terlupa peristiwa 2014?
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) hari ini menyelarkan kenyataan dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung insiden pelajar Tingkatan Empat yang ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya semalam.
Katanya, menerusi satu kenyataan media, Muhyiddin telah menyatakan kerajaan hari ini, pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang gagal kerana tidak dapat menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling selamat.
''(Namun) beliau lupa bahawa kes (kematian) Wan Ahmad Faris berlaku pada Disember 2014, yang hanya dibuka untuk siasatan ketika era pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Satu lagi kejadian di sebuah sekolah di Rinching, Selangor iaitu seorang pelajar T. Kavinraj yang berusia 13 tahun, meminum ubat secara berlebihan yang mempunyai kaitan dibuli oleh rakan-rakannya.
''Pada 24 Mei 2014 pula, seorang pelajar perempuan terjun dari tingkat 3 bangunan sekolah di Kuantan ketika awal pagi sebelum sesi harian persekolahan bermula,'' bidas beliau terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Muhyiddin menyifatkan insiden pelajar ditikam itu sebagai bukti kegagalan kerajaan.
Muhyiddin berkata, kehilangan seorang anak di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan mendidik, bukan sekadar satu tragedi tetapi tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya melindungi masa depan generasi muda.
Bagaimanapun, Amidi mengimbau kembali peristiwa yang berlaku pada tahun 2014 sewaktu Muhyiddin merupakan Timbalan Perdana Menteri kepada PM Najib Razak di bawah kerajaan Barisan Nasional.
Persoalannya, adakah pentadbiran Najib pada 2014 itu dianggap gagal sebagaimana kritikan yang dilemparkan kepada PM Anwar pada waktu ini.
Ataukah, Muhyiddin terlupa beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan mana pada waktu itu.
"Maka sifat pelupa inilah yang membuatkan Tan Sri Muhyiddin tidak sewajarnya terus diberikan peranan menjadi pemimpin sebuah parti atau menjadi calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional," katanya lagi.
Comments