Jangan politikkan isu nahas pesawat MH17 raih laba politik - Kamil Munim
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menegaskan agar semua pihak tidak mempolitikkan penemuan terbaharu oleh Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Belanda dan Australia berhubung penemuan itu telah dirancang sejak beberapa bulan lalu, dan kebetulan diumumkan menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia.
"Apa yang penting adalah laporan tersebut tidak seharusnya dieksploitasi dan ditunggang oleh pihak-pihak yang picisan dan dangkal isu
"Jangan kita mudah terheret dengan permainan kuasa-kuasa besar dengan membantu menghalakan peluru musuh ke arah kita.
"Mempolitikkan tragedi MH17 adalah tingkat paling bawah dalam usaha mengaut laba politik murahan," katanya dipetik.
Kenyataan Muhammad Kamil dipercayai merujuk kepada gesaan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang meminta Perdana Menteri menyuarakan isu MH17 semasa lawatannya ke Rusia.
Terdahulu, Rusia dinyatakan bertanggungjawab terhadap insiden tembakan jatuh pesawat MH17 di timur Ukraine pada 2014 ditengah konflik antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Dalam kenyataan berasingan kerajaan Belanda dan Australia menyatakan keputusan ICAO itu membuka jalan untuk pertimbangan bentuk pampasan yang wajar kepada mangsa.
Sementara itu tegas Kamil Munim, Malaysia akan terus mendukung segala usaha bagi menegakkan keadilan untuk mangsa tragedi MH17.
"Rekod Malaysia di arena diplomasi kekal cemerlang. Terbukti menerusi bijaksana dan ketegasan ditonjolkan dalam pelbagai siri lawatan dan kunjungan rasmi perdana menteri.
"Insya-Allah, kunjungan rasmi Perdana Menteri ke Rusia akan membuahkan hasil, meneruskan momentum serta memberi laba kepada negara dan rakyat sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas, bermaruah dan berwibawa," tambahnya.
Untuk rekod, Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi ke Rusia sehingga 16 Mei, yang turut melibatkan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin di Moscow serta menghadiri Russia-Islamic World: KazanForum di Kazan.