
Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perbanyakkan penggunaan Bahasa Melayu menunjukkan kerajaan BN sendiri telah gagal mendaulatkan bahasa rasmi negara di sektor korporat dan industri sejak 60 tahun lalu.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, Kerajaan Keluarga Malaysia tidak seharusnya memperjuangkan Bahasa Melayu pada waktu waktu tertentu sahaja terutama menjelang pilihan raya bagi mendapatkan undi Melayu.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu mempunyai pelan strategik yang komprehensif dalam membangunkan Bahasa Melayu
"Isu bahasa hanya ditimbulkan apabila menjelang pilihan raya bagi menggamit sokongan teras Melayu, tanpa mempedulikan kesan negatif, iaitu prejudis antara kaum dan kesenjangan elit dan rakyat kebanyakan. Itu bukanlah roh atau semangat Bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan.
"KEADILAN melalui tokoh seperti Anwar Ibrahim adalah pihak yang paling konsisten dan istiqamah di dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan di semua peringkat.
"Inilah perjuangan nasionalis sejati sejak sebelum tanahair merdeka lagi, yang diwarisi di dalam perjuangan Reformasi," katanya.
Oleh itu, kata Chean Chung daripada terus berbalah dan mempolitikkan isu bahasa, ada baiknya pihak kerajaan BN melaksanakan beberapa langkah untuk memantapkan Bahasa Melayu dan meluaskan penggunaannya dalam kalangan rakyat.
"Bahasa Melayu boleh diperkasakan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya Jabatan Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera mempromosi keindahan bahasa itu dinikmati oleh khalayak ramai. Karya-karya klasik antarabangsa harus diterjemahkan secara berterusan. Usaha-usaha seperti penterjemahan ”Mimpi di Mahligai Merah” oleh Yayasan Karyawan bersama Universiti Malaya baru baru ini harus diperkembangkan.
"Kerajaan juga perlu memantapkan penterjemahan buku ilmiah bagi sektor industri atau komersil terkini kepada Bahasa Melayu seperti Bansho Shirabesho atau Institut Penterjemahan Buku Asing (ばんしょしらべしょ) yang ditubuhkan sejak Zaman Tokugawa tahun 1855.
"Selain itu, perlu juga diperbanyakkan program memupuk minat membaca di perpustakaan-perpustakaan di peringkat negara, negeri dan tempatan kepada semua rakyat," katanya.
Tegas ADUN Semambu itu, tanpa kejujuran elit politik, termasuk Perdana Menteri atau para menteri, maka selamanya Bahasa Kebangsaan akan dilihat sebagai “bahasa kelas kedua” dibuminya sendiri.
"Ia bukanlah salah orang Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum, tetapi dosa akibat ketidakjujuran elit politik penguasa yang menjadi Bahasa Melayu bukan sebagai perjuangan, tetapi sebagai api sentimen perkauman," katanya lagi.