Jangan percaya fitnah Kerajaan MADANI abaikan Terengganu - PM
- Suara Keadilan

- Jul 13
- 2 min read

Rakyat negeri Terengganu diminta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan kononnya Kerajaan MADANI tidak melakukan apa-apa pembangunan untuk kesejahteraan mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hakikatnya, sebanyak 445 program dan projek dengan peruntukan mencecah RM1.836 bilion telah diluluskan di Terengganu di bawah Program/Projek Pembangunan Rancangan Boleh Pinda Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"..yang ini saya umumkan projek yang sedang berjalan atau mula berjalan. Kadang-kadang memang lambat (sebab perlu ambil kira) soal (pengambilan) tanah, kajian (impak) dan kesesuaian, tetapi (projek) yang diluluskan ialah RM1.836 bilion.
"Jadi kalau ada orang ceramah di mana-mana kampung, kata tidak ada projek, tolong jelaskan peruntukan yang telah dilulus RM1.836 bilion," katanya dipetik ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu, di pekarangan Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan memberi keutamaan kepada projek pembangunan yang mampu melindungi dan memperkasakan komuniti.
Antaranya kelulusan RM300 juta untuk kerja naik taraf sistem agihan air di negeri itu yang dijangka meningkatkan bekalan air berpaip kepada 98 peratus menjelang akhir tahun ini.
"Tujuh projek baharu bernilai RM 78.16 juta di daerah Marang termasuk pembinaan Kolej Matrikulasi dan dua bengkel kemahiran, perolehan tanah bagi Politeknik Kuala Terengganu serta menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.
"Kementerian Kerja Raya (KKR) juga sedang melaksanakan 441 projek kategori fizikal pembinaan dan fizikal senggaraan, termasuk menaik taraf jalan Persekutuan di seluruh Terengganu membabitkan peruntukan sebanyak RM5.1billion," kata Anwar.
Selain itu kira-kira RM2.3 bilion diperuntukkan terutamanya bagi melaksanakan projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai serta hakisan pantai di Terengganu selain peruntukan RM450 juta tahun lalu bagi penambahbaikan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir kilat.
Sementara itu pada Majlis itu juga Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.27 juta kepada Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) bagi menyediakan peralatan mengajar dan membiayai kos tuisyen MADANI kepada pelajar di Terengganu.









Comments