Jangan pandang ringan nasihat Raja-Raja Melayu tolak salahguna kuasa - Anwar


Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang mengingatkan peri pentingnya usaha menolak salahguna kuasa usai persidangan bersama Yang di-Pertuan Agong pada 25 Oktober lalu tidak wajar dipandang ringan.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip keadilan dan kejujuran dalam pemerintahan wajib didukung oleh semua pihak yang membentuk kerajaan, agar kehidupan rakyat dan kemakmuran negara terjamin.


"Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah.


"Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan.


"KEADILAN (dalam hal ini) akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.


"Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah tatanan yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, menurut Anwar, sebarang perubahan pada masa hadapan hendaklah berpaksikan reformasi sistem, keutamaan mempertahankan maruah bangsa serta negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.


Berkenaan Belanjawan 2021, Anwar berkata, pihak KEADILAN sedia bekerjasama untuk meluluskannya berdasarkan semangat mendahulukan kebajikan rakyat.


"Bersabit Belanjawan 2021 yang akan dibentang kelak, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh menangani dampak pandemik Covid 19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan," katanya lagi.


Belanjawan 2021 menjadi perbahasan hangat apabila Muhyiddin cuba mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan beliau gagal meluluskan belanjawan dan seterusnya terpaksa meletak jawatan.


Yang di-Pertuan Agong pula dalam titah Baginda kelmarin menyeru agar semua ahli politik menumpukan usaha untuk meluluskan Belanjawan 2021.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio