Jangan pandang ringan Malaysia berpotensi jadi sasaran ancaman siber - PM


Kerajaan tidak menolak Malaysia berpotensi menjadi sasaran ancaman keselamatan siber susulan kekuatan negara dalam sektor digital dan pusat data serta pendirian tegas berhubung isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan Malaysia dalam pembangunan digital dan pusat data antara faktor yang boleh menarik perhatian pihak tertentu, selain pendirian negara yang dianggap kontroversial oleh sesetengah negara Eropah dan Amerika Syarikat.
"Sekarang ini sepertimana saya singgung walaupun tidak semua maklumat itu boleh didedahkan, tetapi Malaysia tentunya di antara yang dianggap menjadi sasaran.
"Ada dua perkara, pertama, kerana kekuatan kita dalam soal digital dan data centre di antara terkuat, kalau dalam angka terakhir umpamanya kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) di Dewan Rakyat pada sesi pagi.
Sehubungan itu, PM mencadangkan supaya Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu hingga dua hari, tertakluk kepada persetujuan pihak kerajaan dan pembangkang.
"Hal ini jangan kita pandang ringan. Jadi saya mohon kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu hingga dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir," katanya.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan maklumat terkini yang diterima pada petang sebelumnya dan pagi hari berkenaan, termasuk daripada Menteri Dalam Negeri.
Anwar menegaskan isu keselamatan negara perlu diberikan perhatian serius, justeru semua Ahli Parlimen wajar diberi pendedahan mengenai perkembangan semasa melalui taklimat berkenaan.




Comments