Jangan pandang remeh rintihan pekebun kecil - Anwar
- Suara Keadilan

- 27 minutes ago
- 3 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masalah yang dihadapi pekebun kecil tidak boleh dipandang kecil kerana jumlah mereka besar dan sumbangan mereka kepada negara turut signifikan.
Perdana Menteri berkata kerajaan perlu lebih banyak mendengar suara akar umbi bagi memastikan dasar dan bantuan yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan golongan berkenaan.
"...kita ini harus menyantuni masyarakat dan rakyat. Kejayaan Kementerian Perladangan dan Komoditi ialah kejayaan untuk berinteraksi, dengar pandangan.
"Pengurus ladang baik yang besar, yang kecil. Kerana mereka semua memberi sumbangan kepada negara.
"Pekebun ini, walaupun kadang-kadang kita sebut pekebun pecil, digabung semuanya sumbangannya besar dan kita bertanggungjawab untuk mencari jalan meningkatkan mutu pengeluaran mereka," kata beliau ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini.
Hadir sama Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan mendengar pandangan rakyat itu selari dengan prinsip Kerajaan MADANI yang tidak menganggap kerajaan mempunyai penyelesaian kepada semua masalah.
Katanya penyelesaian tidak seharusnya hanya datang daripada pihak perancang, penjawat awam atau pemimpin politik di peringkat atasan.
Sebaliknya, pandangan masyarakat di peringkat akar umbi perlu dijadikan input untuk memperbaiki dasar dan pelaksanaan.
Dalam hal ini, Anwar berkata,kerajaan telah meningkatkan beberapa bentuk bantuan kepada pekebun kecil sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Katanya insentif pengeluaran getah yang sebelum ini RM2.50 sekilogram dinaikkan kepada RM2.70 pada 2023 dan RM3 pada 2024.
Bagi pekebun kecil sawit, Perdana Menteri berkata kerajaan turut menambah baik bantuan tanaman semula daripada pendekatan terdahulu yang menyediakan 100 peratus pembiayaan dalam bentuk pinjaman kepada kaedah hibrid mulai 2024.
Kata beliau pendekatan baharu itu membabitkan 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman mudah dengan kadar faedah hanya dua peratus, membabitkan peruntukan sehingga RM100 juta.
“Kalau dulu 100 peratus pinjaman, kita ambil alih Kerajaan MADANI, kita tukar 50 peratus geran, 50 peratus pinjaman mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan jalan ladang di seluruh negara bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat menyokong kelancaran pengangkutan hasil komoditi.
Menurutnya peruntukan yang sebelum ini paling tinggi direkodkan sekitar RM8 juta setahun kini ditingkatkan kepada RM50 juta pada 2026.
“Jalan ladang ini keperluan. Dia tak perlu jadi jalan-jalan lebuh raya, tapi jalan ladang untuk pengangkutan pengeluaran hasil-hasil,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata kira-kira 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf menerima bantuan tunai Budi Agri Komoditi sebanyak RM400 sebulan setakat September ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat penerima yang merasakan bantuan kerajaan belum membawa perubahan ketara antaranya disebabkan maklumat mengenai inisiatif yang disediakan tidak sampai kepada golongan sasaran.
Katanya menjadi tanggungjawab kementerian dan agensi kerajaan untuk memastikan rakyat mengetahui bentuk bantuan yang telah disediakan selain terus mendengar keluhan mereka bagi mengenal pasti keperluan yang masih belum dipenuhi.
“Saya tak kata sudah sempurna. Maknanya sudah sempurna tidak, tapi sekurang-kurangnya dia tahu. Jangan dia kata belum dapat apa-apa,” katanya.
Katanya, walaupun kerajaan sudah menerima pelbagai memorandum dan cadangan untuk pertimbangan Belanjawan 2027, mendengar sendiri keluhan rakyat memberikan gambaran yang berbeza.
“Walaupun dah ada memo, dihantar untuk membantu kita dalam Belanjawan dan kita lakukan apa yang kita fikir sebaiknya, tapi bila mendengar keluhan dan rintihan, lain lagi,” katanya.
Perdana Menteri mengakui apabila ditanya sama ada bantuan yang diberikan kerajaan itu sudah mencukupi, jawapannya daripada pekebun kecil kemungkinan besar tetap “tidak”.
“Kalau wakil pekebun kecil tanya saya cukup? Tentu dia jawab tak cukup dan saya akui. Sebab itu kita terdengar, kita cari jalan,” katanya.
Pada masa sama beliau mengingatkan supaya kerajaan mengambil kira kedudukan ekonomi semasa dalam menentukan bentuk bantuan tambahan kepada rakyat.
Katanya peningkatan harga minyak dunia akibat konflik dan ketegangan geopolitik turut memberi tekanan kepada ekonomi negara termasuk kerana sebahagian keperluan minyak Malaysia diimport melalui laluan perdagangan di rantau Asia Barat.
Anwar berkata kerajaan perlu mencari keseimbangan antara membantu rakyat dan memastikan kedudukan kewangan negara terus terurus.
"Cuma kita kena faham juga keadaan ekonomi sekarang ini. Sudah keadaan agak baik, dah jerebu pula. Perang Teluk belum selesai.
"Apa kena-mengena Perang Teluk yang jauh itu dengan kita? Sebab, minyak dan pengeluaran sebahagian kita.
"Sebahagian yang kita import tu melalui Selat Teluk. Harga minyak melambung. Sekarang dah cecah sampai AS$90 setong. Sebab perang," jelasnya.




Comments