Jangan panaskan isu pasang bendera terbalik hingga timbul ketidaktenteraman
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik tidak perlu dipanaskan ke tahap menimbulkan ketidaktenteraman awam oleh ahli politik oportunis.
Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin (gambar) berkata, kebelakangan ini terdapat segelintir pihak yang cuba mempolitikkan secara melampau perkara berkenaan.
"Seolah-olah tanpa mereka (pemimpin pembangkang), maruah negara akan hancur. Hakikatnya ini hanyalah permainan politik.
"Negara kita ibarat ibu kita sendiri. Ibu sentiasa memaafkan anak yang tersilap, berlapang dada, sentiasa menyayangi. Itulah sebabnya negara dipanggil Ibu Pertiwi.
"Kesilapan memasang bendera secara terbalik memang satu kesilapan. Jika tersilap, mohonlah maaf.
"Tidak kira siapa pun, sama ada peniaga, kementerian, atau parti politik. Selepas itu, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu juga menzahirkan keyakinan bahawa tiada siapa yang berniat jahat untuk sengaja memasang bendera secara terbalik.
Katanya, jika teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh melakukan kesilapan dalam menghasilkan grafik, apatah lagi manusia biasa.
"Ibu Pertiwi kita besar jiwa, pemaaf, dan sentiasa menyayangi rakyatnya. Sifat inilah yang menjadikan negara kita kuat.
"Jadi, politikus tidak perlu sibuk menghangatkan isu," tegas beliau.
Untuk rekod, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan perbuatan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang melihat video tular terbabit di laman Facebook.