Jangan main 'dua kolam' politik dalam satu masa
- Azuan Ab Rahman

- May 22
- 1 min read

Kehadiran enam Ahli Parlimen KEADILAN ke peluncuran Parti Bersama baru-baru ini tidak lagi boleh dianggap sebagai satu kebetulan atau sekadar memenuhi jemputan biasa, sebaliknya perlu dilihat sebagai isyarat sokongan terhadap parti tersebut.
Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit (gambar) mempersoalkan kesetian Ahli Parlimen terbabit yang lebih memilih ke pelancaran parti baharu itu berbanding hadir ke Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Bahru yang diadakan pada tarikh sama.
"Konvensyen PH 2026 medan penting menghimpunkan pimpinan dan akar umbi bagi memperkukuh solidariti, menyusun kekuatan serta mempertahankan mandat rakyat.
"Ketika ramai pimpinan lain memilih untuk bersama parti dan memperkukuh perjuangan gabungan, mereka memilih untuk berada di peluncuran sebuah parti baharu.
"Kalau benar masih setia kepada perjuangan parti (KEADILAN), mengapa perlu hadir dan memberi isyarat politik kepada sebuah parti baharu yang jelas cuba membina pengaruh sendiri?" soalnya dalam kenyataan.
Beliau sementara itu menyatakan rasa kecewa dengan Ahli Parlimen terbabit. Ketika akar umbi terus menunjukkan kesetiaan termasuk ketika parti berada dalam keadaan sukar, pemimpin terbabit yang kini dalam posisi selesa bertindak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota parti sendiri.
"Jika benar sudah tidak sehaluan, maka berlaku jujurlah. Keluar secara terhormat dan jangan terus menjadi duri dalam daging.
"Rakyat hari ini celik politik dan akar umbi parti juga mampu menilai ke mana arah kesetiaan seseorang pemimpin," tambahnya.
Beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pasir Gudang sementara itu menuntut parti tidak berlembut dalam soal disiplin. Ketegasan perlu ditunjukkan supaya parti tidak dilihat lemah dan membiarkan budaya “main dua kolam” menjadi kebiasaan.
"Mandat rakyat bukan alat politik peribadi. Kesetiaan bukan sesuatu yang boleh dimainkan ikut keadaan.
"Jangan bermain di dua pentas politik dalam satu masa," tegasnya.




Comments