Jangan jadikan Perjanjian ART bahan politik, rugikan negara - Dr Mujahid
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dakyah pembangkang yang berterusan memburukkan kerajaan Maaysia berikutan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) amatlah dikesali.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) memberi amaran agar pembangkang tidak dijadikan ART sebagai modal politik sempit untuk menimbulkan kebencian terhadap Kerajaan kerana tindakan sedemikian hanya akan merugikan negara.
Katanya, beliau memberi jaminan bahawa setiap perjanjian yang dimeterai tidak akan sekali-kali menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.
"Malah perbincangan itu sendiri adalah berteraskan kepada mempertahankan maruah dan kedaulatan negara, saya yakin apabila kita meneliti dengan lebih mendalam, kita tidak akan temui mana-mana unsur yang boleh dikatakan menggadaikan maruah negara.
"Ia hanyalah perkara-perkara yang menimbulkan persepsi seperti menyebut tentang hak Bumiputera, sijil halal walaupun ada ruang-ruang yang boleh digunakan untuk kita berpendapat sebaliknya.
"Tetapi hakikat dan asasnya adalah kita kena yakin bahawa tidak mungkin satu perjanjian itu mahu menggadaikan maruah dan kedaulatan negara," katanya dalam satu siaran video.
Mujahid berkata, beliau berharap sebarang perbincangan, khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen agar tidak membawa naratif yang tidak berpijak di bumi nyata berkaitan isu perjanjian tersebut.
Katanya, yang lebih penting adalah perbincangan perlu bersifat objektif dengan meneliti setiap klausa yang diputuskan, selain melihat perjanjian itu sebagai usaha bersama membangunkan ekonomi negara melalui kerjasama antarabangsa yang membawa manfaat, bukan kerugian.
"Lebih buruk daripada itu, saya khuatir jika ada dalam kalangan kita yang cuba mengheret isu perjanjian ini kepada naratif politik sempit yang hanya sekadar hendak menimbulkan kebencian supaya apa yang diusahakan ini digagalkan dan akhirnya yang rugi itu adalah seluruh negara," katanya lagi.
Untuk rekod, perjanjian ART adalah sesuatu yang wajib ditandatangani bagi mengelakkan produk Malaysia dikenakan cukai tinggi masuk ke pasaran AS.
AS merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak puluhan tahun dan tidak mungkin negara ini boleh memindahkan pasaran produk ke negara lain dalam masa hanya beberapa tahun jika enggan menandatangani ART yang mengurangkan tarif daripada 25% kepada 19%.
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan berlaku penutupan kilang dan pengangguran apabila produk Malaysia tidak lagi dibeli di AS berikutan harga yang tinggi.









Comments