
Pemimpin politik tanpa mengira parti digesa tidak menjadikan bangsa Melayu terlalu obses kepada budaya tohmahan dan fitnah.
Hal itu ditimbulkan oleh ADUN Gurun Datuk Johari Abdul.
Menurut beliau, obses kepada budaya fitnah bukan sahaja memberi impak negatif kepada orang Melayu tetapi menjauhkan bukan Islam kepada agama mulia itu.
"Kalau ambil bangsa lain, banding bangsa kita dengan bangsa maju, sama ada mereka di Eropah atau di Timur, saya rasa tak ada bangsa macam kita obses kepada fitnah amat luar biasa
"Jadi apa yang kita nak tinggalkan kepada generasi akan datang? Sama ada dia so call atau dilihat seorang alim, beragama, kalau dia melakukan benda yang sama (fitnah) maka jangan marahkan orang (rakyat) pergi ke sekular (ideologi tidak berpandukan agama)," katanya.
Menurut Johari, perjuangan Pas misalnya yang menolak orang Islam pengikut sekular hanya akan dipandang serong oleh orang Islam yang membandingkan akhlak pemimpin parti itu berbanding pemimpin sekular.
Katanya, orang sekular sekurang kurangnya tidak melakukan adu domba untuk mendapatkan kuasa.
"Orang akan lebih prefer jadi pengikut sekular. Sekurang kurangnya orang tak cakap benda negatif.
"Akhirnya kita sendiri menjauhkan masyarakat yang inginkan Islam, yang mahukan Islam. Orang kafir yang nampak Islam itu indah, kalau ini yang dihidangkan, saya ingat mereka nak masuk Islam itu agak sukar," katanya lagi.
Dalam kempen Pilihan Raya Kecil Padang Serai, Kedah sejak 3 minggu lalu, dasar PH dan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang teruk oleh pemimpin PN
Anwar difitnah tidak mengambil gaji PM tetapi pernah mengambil ganjaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, biar pun ada catatan dalam hansard Dewan Negeri Selangor yang mengesahkan Anwar dibayar RM1 setahun.
Begitu juga dasar meminta taikun Bernas, Syed Mokhtar memberi sumbangan RM10 juta kepada pesawah padi dianggap sebagai cuba memusnahkan empayar perniagaan orang Melayu dan melindungi peniaga Cina.