Jangan gunakan agensi kerajaan memeras sokongan politik untuk pemerintah



Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memandang serius usaha penyalahgunaan agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi memeras sokongan Ahli Parlimen pembangkang kepada parti pemerintah.


Menurut kenyataan Majlis Presiden, penggunaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'menekan' Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah juga ahli-ahli keluarga mereka merupakan tindakan tidak bermaruah serta mengenepikan nilai-nilai demokrasi.


"Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


"Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang.


"Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima.


"Kami percaya ini telah dilakukan terhadap ramai termasuk Lim Guan Eng dan isteri, Larry Sng, Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar," kata kenyataan itu.


Sehubungan itu, Majlis Presiden meminta kerajaan Perikatan Nasional bersaing secara sihat dalam politik dan tidak mengenakan ugutan yang tidak sepatutnya terhadap anggota parti lawan.


"PH mengecam sekeras-kerasnya penggunaan SPRM, LHDN, PDRM dan agensi-agensi lain sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional ini.


"Pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan," kata mereka.


Selain itu, Majlis Presiden turut mengingatkan agar pemerintah tidak hilang punca dalam suasana kemerosotan ekonomi sehingga mengenakan pelbagai tuntutan kewangan tidak wajar ke atas perniagaan bagi menambahkan hasil cukai.


Tindakan gebabah seperti itu, kata mereka dikhuatiri akan memusnahkan perniagaan dan menakutkan pelabur menanam modal.


"PH juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan.


"Tindakan "memeras" perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan survival perniagaan dan menjejaskan pekerjaan," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio