Tidak wajar guna peruntukan kawasan sebagai senjata politik - Bersih 2.0



Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar tidak menggunakan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) sebagai alat bagi membeli sokongan politik.


Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, pemerintah perlu segera melakukan reformasi dan menginstitusikan peruntukan kawasan untuk menjamin ketelusan, akauntabiliti serta peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN).


Hal itu dinyatakan dalam kertas kajian bertajuk “Pemansuhan atau Pembaharuan: Mencari Jalan Ke Depan Peruntukan Pembangunan Kawasan di Malaysia” yang dikeluarkan semalam.


"Laporan tersebut yang dinaungi oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh IDEAS, mendapati walaupun CDF mampu menangani keperluan pembangunan dan jurang antara kawasan, keberkesanannya dicemari dengan ketidaktelusan dan kurang akauntabiliti, pelanggaran pemisahan kuasa antara eksekutif dan badan perundangan serta mengganggu persaingan politik dengan memberikan wakil rakyat kerajaan alat politik yang lebih baik untuk mempengaruhi pilihan pengundi, terutamanya apabila peruntukan CDF ini berat sebelah.


"Sekiranya isu ketelusan, penaungan politik dan gangguan persaingan politik tidak ditangani, CDF akan hilang keberkesanannya malah mungkin menjadi tidak produktif untuk pembangunan kawasan dan demokrasi negara," kata mereka dalam satu kenyataan.


Menurut Bersih 2.0, bagi mengelakkan peruntukan kawasan terus disalahgunakan maka satu pelan reformasi berjangka pendek dan panjang perlu diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri.


"Untuk jangka masa segera, langkah-langkah memastikan ketelusan dan akauntabiliti perlu diangkat. Hal ini boleh dilaksanakan dalam bentuk perundangan CDF bagi mencegah perubahan sewenang-wenangnya oleh kerajaan.


"Perundangan ini juga perlu menyatakan formula peruntukan untuk setiap kawasan, sumber kewangan dalam belanjawan tahunan, had peruntukan tahunan CDF, keperluan agensi dan penggubal undang-undang untuk menyiarkan maklumat utama CDF kepada orang ramai, mekanisme penyertaan orang ramai dalam perumusan, pelaksanaan dan pemantauan CDF serta sekatan kepada penyalahgunaan atau penggelapan CDF.


"Bagi jangka panjang, Ahli Parlimen dan ADUN tidak perlu lagi menjadi penjaga peruntukan ini untuk membina infrastruktur asas serta menangani keperluan kawasan yang mendesak.


"Peranan itu perlu diberikan kepada kerajaan tempatan yang dipilih agar Ahli Parlimen dan ADUN dapat menumpukan kepada membuat polisi dan undang-undang," kata mereka.


Hal itu, bagi NGO pembaharuan pilihan raya tersebut, dianggap penting agar Ahli Parlimen dan ADUN perlu terus menerima peruntukan untuk pusat khidmat mereka. Peruntukan ini perlu disalurkan daripada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, berbanding daripada CDF.


Selain itu, kata mereka, pendanaan awam secara rasmi kepada parti politik juga harus disediakan sebagai insentif untuk mencegah parti politik daripada menyalahgunakan peruntukan CDF. Perubahan ini memerlukan undang-undang pembiayaan politik.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
5304
64
8163
Total
657,508
3908
580,276

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
347,342
9,422
391,535
Total
176,420,883
3,811,183
158,674,643

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER