Oleh: Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
ULASAN PIMPINAN: Saya terkejut dengan kritikan dan serangan jahat terhadap pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri (PM) dan Iqbal sebagai Pegawai Khas Speaker (Dewan Rakyat), Datuk Johari Abdul.
Saya terdorong untuk menulis ini bukan sahaja untuk Nurul atau Iqbal, tetapi untuk ratusan anak lelaki dan perempuan yang baik yang telah berjuang untuk pembaharuan bersama ibu bapa mereka ketika mereka masih pelajar. Ini juga untuk beribu-ribu pemimpin barisan kedua dan ketiga parti yang berdedikasi yang berjuang keras untuk membawa perubahan kerajaan, tetapi hanya untuk diberitahu oleh pejuang moral keyboard warrior (laskar siber) bahawa mereka tidak mempunyai bahagian dalam perjalanan kerajaan, kerana untuk memastikan kesucian kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka jangan ada lantikan politik.
Biarkan mereka yang benar-benar neutral dalam politik menjalankan kerajaan. Iaitu mereka yang tidak pernah memahami agenda reformasi kita, dan yang mungkin bermain permainan video ketika rakyat protes di jalanan, atau mengembara jauh ke dalam hutan untuk menyebarkan mesej reformasi?
Semangat ikuti reformasi
Dalam tempoh 25 tahun yang lalu apabila KEADILAN menjadi pembangkang hampir sepanjang tahun, parti itu bertahan dengan bajet yang sedikit dan kebanyakan pemimpin terpaksa bertungkus-lumus untuk menampung kehidupan. Anak-anak mereka sering menjadi setiausaha, PA, pengurus pejabat, pegawai perhubungan awam dan kadangkala pemandu, sama ada sambilan atau sepenuh masa, dengan atau tanpa gaji.
Adakah anak-anak ini mempunyai ijazah atau profesion mereka sendiri? Kebanyakannya begitu. Saya fikir sebab mengapa mereka memilih untuk bersama bapa mereka, selain untuk kasih sayang bapa mereka adalah kerana semangat mengikuti gerakan reformasi.
Pada tahun-tahun lalu, saya melihat beribu-ribu graduan dan profesional muda (dan ada yang tidak begitu muda) menyertai parti sebagai sukarelawan. Mereka telah berkhidmat kepada parti, atau lebih tepatnya gerakan reformasi dalam pelbagai kapasiti, daripada menggunakan kepakaran terlatih mereka dalam mengendalikan data pilihan raya, memfailkan saman undang-undang, menyelamatkan rakan seperjuangan, menganjurkan program kesihatan di kampung terpencil dan rumah panjang atau mengadakan kelas tuisyen untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Juga menjalankan tugas dalam acara parti, termasuk mengatur kerusi dan menyediakan sistem siar raya. Kebanyakan mereka telah melalui proses pengisian perjuangan ini selama lebih 10 tahun. Dan apakah kesaksian yang lebih baik yang boleh kita minta untuk membuktikan komitmen mereka terhadap perjuangan reformasi?
Sekarang perang telah dimenangi dengan slogan “nepotisme” dan “kroni” dan musuh telah dihalau pergi.
Terbaik reformasi, terbaik dalam kerajaan
"Maaf, kami tahu anda layak untuk jawatan itu, tetapi…ini adalah nepotisme" ; atau "kerajaan PH mesti menjauhkan ahli politik daripada semua GLC dan agensi kerajaan kerana ia akan membawa kepada rasuah dan salah guna kuasa". Sekiranya mereka diberi pekerjaan, mereka perlu melakukannya secara percuma untuk menunjukkan keikhlasan. Sungguh memalukan dan tidak adil sama sekali!
Pejuang moral ini lupa bahawa orang yang berada di barisan hadapan gerakan reformasi adalah orang yang terbaik untuk berada dalam kerajaan bagi melaksanakan agenda reformasi.
Saya rasa Nurul Izzah adalah orang yang terbaik untuk tugas sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada PM. Siapa kata ekonomi dan kewangan hanyalah mengenai kunci kira-kira dan Keluaran Dalam Negara Kasar? Ia adalah mengenai kehidupan dan penghidupan rakyat. Beliau menyertai gerakan reformasi pada usia muda 17 tahun.
Saya melihatnya sebagai Ahli Parlimen muda pergi ke pedalaman Sabah dan Sarawak membantu penduduk kampung membuat empangan air mini; dan kemudiannya sebagai Ahli Parlimen yang lebih matang membantu usahawan kecil mempromosi batik. Dia memahami kemiskinan dan masalah ahli perniagaan kecil, dan dia memahami agenda reformasi. Kami memerlukan beliau dan ramai lagi di peringkat tertinggi kerajaan dan di sekeliling PM untuk memastikan kelancaran pelaksanaan agenda reformasi.
Jangan ulangi kesilapan PH 1.0
Anak perempuan seorang perdana menteri sudah tentu mungkin sangat berkuasa dan berpengaruh. Tetapi itu tidak semestinya berkaitan dengan jawatan rasmi yang disandangnya.
Penipu terbesar abad ini Jho Low yang rapat dengan keluarga PM melalui anak Najib (Razak), yang langsung tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.
Ini adalah permulaan kerajaan baru PH. Kita tidak boleh lupa iktibar pahit kerajaan PH pertama (1.0) yang hanya bertahan selama 22 bulan. Pada masa itu adalah sukar untuk mendesak reformasi apabila kabinet tidak benar-benar mengawal kerajaan.
Saya melihat ketidakberdayaan menteri-menteri apabila jabatan, agensi dan GLC di bawah kementeriannya mempunyai cara mereka sendiri untuk melakukan sesuatu dan bergerak ke arah yang berbeza.
Kita tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang sama. Jika kita tidak menetapkan pemikiran kita dengan betul dan membiarkan diri kita terpengaruh dengan semua hujah moral palsu itu, kita bukan sahaja akan kehilangan agenda kita, malah akan kehilangan Putrajaya juga.
Kita mempunyai misi dan kita tidak seharusnya teragak agak untuk melakukan perubahan dalam struktur kerajaan sedia ada, supaya pemimpin kita mempunyai peranan yang bermakna dalam kerajaan dan agenda reformasi dapat dilaksanakan dengan pantas.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN dan mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju
コメント