top of page

Jangan guna Akta Komunikasi dan Multimedia untuk lindungi Menteri - Hassan Karim



Siasatan ke atas Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta komunikasi dan multimedia 2005 kerana mendedahkan dakwaan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdul Latiff Ahmad terlibat dalam skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dipersoalkan.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, siasatan ke atas isu tersebut tidak seharusnya dilakukan semata mata untuk menakut nakutkan ahli politik yang membuat pendedahan atau mengkritik kerajaan.


"Saya sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia dan menjadi anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan memandang berat laporan portal yang melaporkan kenyataan Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai bahawa Rafizi Ramli akan disiasat di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 2005.


"Saya akui hak polis untuk memulakan siasatan apabila penolong kepada Dr Abdul Latiff membuat satu laporan polis terhadap Rafizi berhubung isu kapal tempur persisir.


"Namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menunjukkan sikap yang adil dan telus. Adakah pihak PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Dr Latiff sebaik sahaja laporan rasmi terhadap beliau berhubung isu 6 buah kapal tempur LCS dibuat?


"Kenyataan Ketua Polis Sentul itu amat membimbangkan kerana ia berupa satu ancaman dengan menggunakan Kanun Keseksaan dan Akta komunikasi dan Multimedia untuk menakutkan ahli-ahli politik dan aktivis masyarakat agar tidak mengeluarkan suara yang dianggap mengkritik menteri-menteri Kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Hassan lagi, amaran tidak langsung dari Ketua Polis Sentul jelas bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap warganegara mempunyai hak terhadap kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.


Bagi beliau, cara terbaik sekiranya Dr Latiff secara peribadi merasakan dirinya telah difitnah maka dari segi undang-undang sivil, beliau ada hak untuk saman Rafizi di mahkamah sivil.


"Pihak polis silap dari segi undang-undang jika menggunakan seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk melindungi Menteri kabinet.


"Menteri kabinet atas jawatannya dan diri peribadinya boleh ditegur dan dikritik, malah boleh disaman di mahkamah. Tetapi Menteri tidak boleh menggunakan polis untuk melindungi dirinya. Begitu juga polis tidak boleh menggunakan ugutan undang-undang bagi melindungi menteri menteri Kerajaan," katanya.


Hassan membawakan contoh dalam Kes Abdul RahmanTalib v Seenivasagam & Anor (1965)1MLJ 142. Menteri Pelajaran ketika itu Abdul Rahman Talib telah kemukakan saman fitnah di Mahkamah sivil terhadap S.P. Seenivasagam, Presiden People Progressive Party.


Hal itu, katanya, berlaku pada tahun 1965 di zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama.


"Polis ketika itu tidak menggunakan Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap S.P. Seenivasagam.


"Pihak Polis Sentul perlu menasihatkan Menteri Tugas-Tugas Khas, Dr Latiff supaya memfailkan tuntutan saman terhadap Rafizi di Mahkamah sivil.


"Malah Rafizi secara terbuka telah menyatakan bersedia untuk dia disaman oleh Dr Latiff bagi membolehkan dirinya membela diri," katanya lagi.


Pada pendapat Hassan, dalam hal pendedahan berkenaan, Rafizi Ramli mempunyai pembelaan bermerit, antaranya fakta-fakta yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden KEADILAN itu benar; untuk kepentingan awam; tiada niat jahat dan komen yang berpatutan.


Oleh itu, katanya tidak wajar pihak polis membuka kertas siasatan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Rafizi Ramli.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page