Jangan emosi mahu letak jawatan, jejaskan Kongres Nasional KEADILAN
- Suara Keadilan
- 47 minutes ago
- 2 min read

Tindakan mengikut emosi termasuk mengugut mahu meletakkan jawatan walaupun baru saja memenangi Pemilihan 2025 hanya akan merencatkan proses penyatuan dalaman parti, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan KEADILAN Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Justeru itu, beliau mengingatkan barisan kepimpinan parti agar berfikir secara rasional dengan tidak bertindak terburu-buru kerana ia dibimbangi menjejaskan proses perjalanan Kongres Nasional parti pada 21 Mei ini.
"Fikir dahulu sebelum buat apa-apa tindakan. Paling penting selepas pemilihan ini adalah untuk kita satukan balik saf, rapatkan saf demi kekuatan parti dan terus berjuang dalam agenda membangunkan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tuition Mission Putrajaya (TMP) 2025 di Putrajaya hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut terdapat ahli jawatankuasa di peringkat Cabang KEADILAN mahu meletakkan jawatan ekoran keputusan pemilihan menyaksikan ketua cabang yang menang merupakan bukan daripada anggota pasukan mereka ketika pertandingan.
Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata anggota KEADILAN perlu mengekalkan semangat kekeluargaan dan berjiwa besar dalam menghadapi perbezaan pendapat.
"Kita semua bertanding dalam semangat keluarga, adik-beradik… (bukan untuk berpecah) tetapi supaya boleh terus bergerak bersama.
"Agenda kita membangunkan negara, jadi siapa yang berniat untuk berundur, fikirkan semula kerana kita bertanding atas semangat kekeluargaan," katanya sambil menekankan bahawa perkara utama yang perlu ditumpukan kini adalah menguatkan kembali parti bagi meneruskan perjuangan.
Dalam pada itu, Zaliha menganggap pertandingan antara Datuk Seri Rafizi Ramli yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dan Nurul Izzah Anwar adalah manifestasi budaya demokrasi dalam parti itu.
Beliau menjelaskan pertandingan terbuka merupakan sebahagian daripada amalan yang matang dalam KEADILAN dan “ia tertumpu kepada soal kekuatan calon dan bukan perpecahan dalaman.”
Semalam Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil berkata kepada pemberita dalam siri Jelajah kita KEADILAN zon utara, berdasarkan peraturan, pemimpin cabang yang meletak jawatan sehingga perlu diadakan pemilihan baharu akan disenarai hitam dari menyertai pertandingan.