'BUDI95 untuk rakyat Malaysia, biarpun kerja di Singapura'
- Helmi Mohd Foad

- Apr 10
- 2 min read

Pertikaian dibangkitkan aktivis pro pembangkang, Isham Abdul Jalil berhubung subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada rakyat Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura disifatkan tidak berasaskan fakta dan mengelirukan.
Aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz berkata kritikan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu gagal mengambil kira realiti sebenar kehidupan pekerja Malaysia yang berulang-alik ke republik itu setiap hari.
"Nampaknya beliau kena buat ‘homework’ dahulu, bukan asyik menyerang kerajaan," katanya dalam muat naik di media sosial.

Menurut beliau, data rasmi yang dibentangkan Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow di Parlimen Singapura baru baru ini menunjukkan kira-kira 77,000 kenderaan memasuki Singapura setiap hari, dengan 82 peratus daripadanya adalah motosikal.
Justeru itu jelasnya, tindakan kerajaan memberikan subsidi kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah tepat kerana majoritinya menunggang motosikal.
"Harga minyak di sana sangat mahal dan kos sara hidup (makanan juga sangat mahal) dan gaji mereka kategori sederhana ke bawah," ujarnya.
Katanya lebih 300,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan 80 peratus berkhidmat dalam bidang bukan profesional manakala sektor perkeranian (24%), operator mesin (15%), juruteknik (15%) serta perkhidmatan dan jualan (12%).
Ini jelas membuktikan majoriti pekerja ulang-alik adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama.
Pada ketika ini, harga RON95 di Singapura mencecah antara RM11.83 hingga RM12.08 seliter berbanding Malaysia RM1.99 seliter (BUDI95).
Bagaimanapun, ujar Syam Ghaz, pembangkang yang mengkritik mengenai pemilikan lesen tersebut tidak mendapatkan fakta yang tepat mengenainya.
"Mereka tidak beritahu Singapura wajibkan semua pekerja di negara mereka mempunyai lesen memandu Singapura termasuk rakyat Malaysia kena ambil lesen balik.
"Mereka rakyat Malaysia, jadi memang layak dapat subsidi (minyak)," ujarnya.
Untuk rekod, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan memegang lesen memandu Singapura (LMS) boleh memohon subsidi petrol BUDI95 mulai 16 Oktober 2025.




Comments