top of page

Bekalan minyak Malaysia mencukupi ketika negara lain bercatu - Menteri Kewangan II

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 10
  • 2 min read

Tekanan harga global bahan api ketika ini berpunca daripada bekalan yang rendah berbanding permintaan yang tinggi, ancaman keselamatan serta kenaikan kos penghantaran dan insurans yang berlipat ganda, demikian kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar).


Perkara itu ternyata bercanggah dengan dakwaan pemimpin pembangkang yang cuba memutar belit isu kenaikan harga bahan api dengan mendakwa 'tiada sebab harga minyak naik kerana kapal Malaysia tidak dikenakan sekatan di Teluk Hormuz'.


Beliau dalam taklimat krisis tenasa global berkata ketika ini bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain, dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan beberapa syarikat minyak menguruskan sumber negara secara bertanggungjawab.


"Kita dapat lihat melalui stesen minyak yang terus beroperasi... rakyat Malaysia masih boleh membeli minyak... ada negara yang sudah mencatunya malah beratus-ratus stesen minyak di negara lain telah ditutup kerana kurang bekalan," katanya di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.


Amir Hamzah menjelaskan krisis itu wajar dilihat sebagai peluang untuk Malaysia terus membina ketahanan ekonomi dan merebut peluang menjadi masyarakat yang lebih dinamik dan progresif.


"Rakyat memainkan peranan penting... inilah masanya untuk kita ketepikan semua perbezaan pandangan dan pilih untuk bersepakat dalam usaha kita menghadapi krisis termasuk bersederhana dalam amalan seharian.


"Keutamaan kerajaan pada saat ini ialah memastikan keterjaminan bekalan minyak, tenaga, barang-barang asas dan ubat-ubatan mencukupi untuk rakyat… pada masa yang sama, kerajaan berikhtiar supaya ekonomi negara terus terpelihara dan rakyat dilindungi," katanya.


Dalam hal ini, beliau menjelaskan, kenaikan harga minyak tersebut bagaimanapun, ditampan dengan mengekalkan subsidi bersasar RON95 dan diesel pada harga ditetapkan serta menyelaras harga bahan api tidak bersubsidi mengikut pasaran bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga global.


Katanya langkah tersebut penting bagi melindungi sektor kritikal termasuk perikanan, pengangkutan awam dan kenderaan logistik berkelayakan yang kekal menikmati diesel pada kadar terkawal.


"Sektor kritikal yang masih menikmati diesel bersubsidi seperti nelayan kekal menikmati diesel pada RM1.65 seliter.


"Bagi kenderaan pengangkutan awam darat antaranya bas sekolah dan ekspres, ambulans serta bomba pada harga RM1.88 seliter selain kenderaan logistik berkelayakan dan pengguna di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page