top of page

"Jangan biarkan kejahilan pisahkan masyarakat serumpun" - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 13
  • 2 min read

DS Anwar dalam program dialog  iFuture Townhall anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi petang tadi
DS Anwar dalam program dialog  iFuture Townhall anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi petang tadi

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masa depan rantau ini bergantung kepada keupayaan generasi muda menghapuskan prejudis serta kebencian rentas bangsa dan agama melalui ilmu serta kefahaman.


Perdana Menteri berkata, hubungan Malaysia dan jirannya seperti Indonesia yang serumpun dan memiliki persamaan budaya tidak boleh dibiar dirosakkan oleh prasangka sempit serta kejahilan segelintir pihak di media sosial.


"Kita selamat dan makmur kerana keamanan rantau ini. Sebab itu kita pilih jalan berunding, bukan bermusuh. Malaysia dan Indonesia harus melihat kekuatan kita pada persamaan budaya, bahasa dan nilai, bukan pada perbezaan," ujarnya dalam sesi dialog bersama mahasiswa universiti awam dan swasta sempena program iFuture Townhall anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini.


Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pelajar dari Indonesia yang membangkitkan isu perbalahan warganet Malaysia dan Indonesia di media sosial hingga mencetuskan sentimen nasionalisme sempit.


Menurut beliau Malaysia mengambil pendekatan bersahabat dengan semua negara jiran di rantau ini termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina, Laos, Vietnam dan Kemboja kerana kestabilan serantau merupakan kunci kepada kemakmuran bersama.


"Kita ini hidup kerana keamanan dan kestabilan rantau ini. Sebab itu bila ada sedikit pertelingkahan antara Kemboja dan Thailand, Malaysia cepat bertindak mengajak mereka berbincang. Semalam pun wakil kedua-dua negara datang ke sini untuk kita bantu luruskan perbezaan," jelasnya.


Katanya, dasar luar Malaysia selama ini menekankan diplomasi dan penyelesaian secara damai, bukan konfrontasi.


Sambil mengakui wujud sentimen nasionalisme sempit yang tercetus di media sosial, Anwar menegaskan ia berpunca daripada “salah faham yang datang dari kejahilan manusia, bukan pertembungan tamadun.”


"Saya sering kata, dunia hari ini bukan berdepan clash of civilizations, tetapi clash of ignorance – pertembungan kejahilan. Kita bergaduh bukan sebab kita berbeza, tetapi sebab kita tidak faham satu sama lain," katanya.


Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa penguasaan ilmu adalah asas untuk menangkis fahaman ekstrem, rasisme dan Islamofobia yang semakin menular di peringkat global.


Anwar menambah kejayaan ASEAN selama ini bertitik tolak daripada keamanan dan saling hormat antara negara serantau. Malaysia, katanya, berpegang pada prinsip persahabatan sejati dengan semua jiran, tanpa mengira perbezaan politik atau ekonomi.


"Kita bersahabat dengan Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja. Kita aman kerana kita bersahabat. Kalau kita seperti Timur Tengah, yang setiap hari bergolak, bajet kita bukan lagi untuk pendidikan tetapi untuk senjata," ujarnya.


Menjawab pertanyaan lain mengenai Belanjawan 2026, Anwar menjelaskan bahawa kerajaan mampu mengekalkan perbelanjaan besar untuk pendidikan tanpa memperkenalkan cukai baharu kerana hasil penjimatan daripada pembanterasan rasuah dan kebocoran.


"Kita berjaya kutip semula RM15.5 bilion daripada ketirisan dan rasuah. Duit itu kita salurkan semula kepada rakyat, biasiswa, naik taraf makmal universiti dan bantuan pendidikan untuk keluarga miskin," katanya.


Beliau turut menjelaskan rasional kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu PTPTN di mana peminjam berpendapatan rendah atau cemerlang akan mendapat pengecualian bayaran melalui skim penukaran kepada biasiswa.


"Kita tidak hukum pelajar miskin. Kalau dia berusaha dan belajar sungguh-sungguh, itu pelaburan negara, bukan hutang," katanya.


Anwar berpesan agar mahasiswa menjadi golongan yang memimpin masyarakat dengan ilmu dan akhlak, bukan dengan kemarahan atau kebencian.


"Masa depan ini milik anda. Jangan biar kejahilan dan fitnah menentukan arah hidup anda. Jadilah pejuang kebenaran, kebebasan dan keadilan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page