Hannah Yeoh jumpa 80 persatuan penduduk, utama pentadbiran bersama rakyat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Wilayah Persekutuan kini lebih mengutamakan pentadbiran yang menekankan penyertaaan rakyat dalam memberikan pandangan dan input sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan membabitkan pembangunan ibu kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata perkara itu dilaksanakan apabila beliau mengadakan pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur yang mewakili lebih 80 persatuan penduduk dari seluruh ibu negara.
Menurut Hannah, pertemuan itu memberi ruang kepada wakil-wakil persatuan penduduk untuk berkongsi pandangan serta maklum balas berhubung usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk Kuala Lumpur.
"Saya komited untuk meneruskan pendekatan libat urus yang bermakna melalui perbincangan berterusan, sesi konsultasi serta kerjasama rapat dengan komuniti setempat dan pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah isu mitigasi banjir, khususnya berkaitan perlindungan dan pemeliharaan kolam takungan yang memainkan peranan penting dalam pengurusan banjir di Kuala Lumpur.
Beliau turut berkongsi keutamaan pentadbirannya dalam memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan banjir serta memastikan amalan tadbir urus yang baik dilaksanakan secara konsisten.
Dalam masa sama, Hannah menjemput para profesional dan pakar dalam kalangan persatuan penduduk untuk menyumbangkan pandangan dan kepakaran bagi menyokong perancangan serta pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.
"Prinsip pentadbiran saya adalah untuk mentadbir bersama rakyat. Pandangan yang dikemukakan oleh persatuan penduduk merupakan input penting dalam membentuk keputusan dan tadbir urus bandar," jelasnya.
Beliau menegaskan semua maklum balas yang diterima diteliti dengan cermat bagi memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada penduduk, selain menjadi panduan dalam menetapkan keutamaan tadbir urus bandar pada masa hadapan.
"Pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan Kuala Lumpur dengan menumpukan kepada kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat," katanya.









Comments