'Jangan biar Abu Jahal moden sakau duit orang Islam'


Ketua Penerangan Wilayah Persekutuan, Muhammad Abdullah Kamsani atau Syafiq Suny (gambar) menyifatkan pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap masalah kewangan Tabung Haji sebagai “Abu Jahal moden” yang meranapkan wang simpanan umat Islam Malaysia.
Beliau berkata, walaupun perkataan “sakau” tidak disebut secara jelas dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, perkara yang didedahkan dalam laporan itu memberikan gambaran mengenai bagaimana wang institusi berkenaan diuruskan.
"Bagaimana mereka (pengurusan lama) mencuri duit Tabung Haji, tak ada perkataan sakau, kita tak jumpa perkataan sakau dalam RCI Tabung Haji.
"Tetapi bila baca dan faham, kita tahu erti sebenar sakau. Saya ingat Abu Jahal (musuh Nabi Muhammad SAW) dah tak ada. Rupanya ada Abu Jahal moden yang meranap duit Melayu, duit orang Islam," katanya dalam Ceramah Kelompok Biro Penerangan Wilayah Persekutuan, Cabang Batu, malam tadi.
Syafiq berkata, sekiranya individu yang mempunyai kuasa meluluskan sesuatu keputusan yang memberi kesan kepada sesebuah entiti perniagaan kemudian beliau meletakkan jawatan setelah dana dilesapkan, persoalan mengenai pihak yang perlu bertanggungjawab tetap timbul.
"Kalau kita tahu ahli lembaga penasihat (perniagaan), dia luluskan benda yang beri kesan kepada kita, lepas itu dia letak jawatan, adakah itu betul? Siapa nak bertanggungjawab?
"Sekarang siapa yang kena bayar masalah (kerugian) itu semua, kita kena bayar," katanya.
Menurutnya, isu membabitkan kerugian institusi besar seperti Tabung Haji bukan sahaja memberi kesan kepada generasi hari ini, malah boleh menjadi beban kepada generasi akan datang.
"Macam itu juga dengan 1MDB, FELDA, masalah ini semua siapa kena tanggung? Anak kita kena tanggung esok," katanya.
Syafiq turut mempersoalkan kemungkinan wujudnya kekayaan luar biasa dalam kalangan pihak yang mempunyai kaitan dengan pengurusan Tabung Haji.
"Saya ada lima anak. Kalau saya pengerusi Tabung Haji, lima orang anak saya itu patutkah ada akaun berjuta-juta ringgit?" katanya merujuk kontroversi terbaharu yang melibatkan nilai simpanan anak pengurusan TH yang lalu.




Comments