Jangan banding harga minyak M'sia-Thailand, sistem kiraan berbeza - Bryan Ng
- Akmal Manaf

- Apr 13
- 2 min read

Sebarang perbandingan harga minyak antara Malaysia dan Thailand perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira beban kewangan rakyat termasuk cukai, levi serta sumber pembiayaan subsidi, dan bukan semata-mata bersandarkan angka tertera di papan pemakluman stesen minyak.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin berkata, Malaysia menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang menstabilkan harga runcit serta memberi sedikit subsidi kepada harga apungan, menyebabkan harga bergerak secara perlahan dan terkawal.
Selain itu, Malaysia turut melaksanakan subsidi bersasar kepada diesel kegunaan pengangkutan awam, pertanian dan barangan pengguna dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran. Begitu juga petrol RON 95 di bawah program BUDI95.
Thailand pula, katanya menggunakan Oil Fuel Fund sebuah dana yang dikumpul melalui levi daripada pengguna sendiri untuk mensubsidi harga bahan api.
"Walaupun kedua-dua negara kelihatan ‘mensubsidi’ minyak, mekanisme dan sumber pembiayaannya adalah berbeza sama sekali. Membandingkan harga di pam minyak (kedua dua negara) semata-mata tanpa memahami struktur ini adalah satu perbandingan yang cetek dan mengelirukan.
"Perbezaan sistem ini menjadi lebih jelas apabila berlaku tekanan harga global. Apabila konflik Timur Tengah mencetuskan lonjakan harga minyak mentah pada Mac 2026, Thailand gagal mengekalkan harga diesel yang dikawal Oil Fuel Fund.
"Mereka kehilangan lebih daripada 1 bilion baht sehari sehingga terpaksa menaikkan harga secara mendadak, mencetuskan pembelian panik di seluruh negara. Malaysia pula, walaupun turut menghadapi tekanan, berjaya mengekalkan kestabilan harga untuk pengguna bersubsidi melalui program BUDI95 pada RM1.99 seliter.
"Ini menunjukkan bahawa sistem APM Malaysia, walaupun ‘lambat’ bertindak balas (apabila harga naik-turun), sebenarnya memberikan perlindungan yang lebih konsisten dan boleh diramal berbanding sistem Thailand yang lebih terdedah kepada kejutan mendadak," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mengulas lanjut, Bryan berkata, rakyat Malaysia yang membayar harga rendah di pam sebenarnya menikmati manfaat subsidi yang ditanggung oleh kerajaan melalui hasil Petronas dan peruntukan fiskal negara.
Katanya, rakyat Thailand yang kelihatan membayar pada "harga pasaran" sebenarnya telah menyumbang kepada Oil Fuel Fund melalui levi yang dikenakan ke atas setiap liter bahan api yang mereka beli.
"Oleh itu, perbandingan yang adil dan bertanggungjawab mestilah bersifat holistik, bukan hanya melihat harga pam sebagai ukuran tunggal keberkesanan dasar bahan api sesebuah negara," jelas beliau lagi.
Kelmarin, pengguna minyak mempersoalkan harga diesel di media sosial yang lebih murah di Thailand apabila Iran dan Amerika Syarikat bersetuju untuk gencatan senjata selama dua minggu yang memberi tindak balas segera kepada penurunan harga minyak dunia.
Manakala harga minyak, sama ada diesel atau petrol tanpa subsidi di Malaysia tidak turun sejajar dengan penurunan antarabangsa.




Comments