Oleh: Abdullah Zaid
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera parti itu untuk terus melipat gandakan usaha sepanjang tempoh 14 hari berkempen bagi mengekalkan kemenangan BN kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Jelasnya, BN tidak boleh mengambil mudah di atas kemenangan selesa yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menentang Perikatan Nasional (PN).
"Jangan ambil mudah, di atas kertas dulu Datuk Seri Johari mendapat majoriti lebih 4,000 dan calon PH ketika itu dapat 2,000 lebih.
"Atas kertas kita lebih 6,000 undi tapi jangan pernah terlalu yakin sebab pihak lawan telah bermukim di sini, dan menggunakan pendekatan tidak melakukan ceramah besar-besaran.
"Apa kita lakukan mesti mengambil langkah-langkah, antaranya mendekati dan merapati pengundi di Pelangai," katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid optimis calon yang dipertaruhkan sebagai anak jati itu mampu menarik ramai pengundi sekali gus mengekalkan kemenangan di kerusi tradisi BN berkenaan.
"BN menaruh sepenuh harapan agar calon yang kita pilih ini, sangat terkenal dalam kalangan orang Pelangai, dan beliau juga adalah anak Felda. Tentunya 16,000 pengundi di Pelangai ini sangat mengharapkan agar dilakukan kesinambungan perkhidmatan sebagaimana yang dilakukan oleh Johari (penyandang lama).
"Kita berterima kasih kerana rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Datuk Seri Mohamad Sabu dan rakan-rakan yang lain, ini satu keserasian yang telah terbentuk, khususnya di Johor. Kami membantu mereka dan di sini, mereka pula membantu kita," ujarnya lagi.
Comentarios