Jamu rakyat makan bukan program membazir - Saifuddin
- Suara Keadilan
- Apr 26, 2023
- 1 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri sebagai satu pembaziran.
Menurutnya, majlis jamuan itu merupakan pendekatan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa rakyat dan kerajaan tidak sewajarnya berkira-kira dengan rakyat.
"Rumah terbuka nak sambut raya dengan rakyat tak usah kira sangatlah, apa sangat nak jamu ketupat, lemang kepada rakyat.
"Jadi tak ada isulah saya nampak... membazir apa? Nak jamu ketupat... lemang, apa yang membazir itu? Ketupat dan lemang berapa duit.
"Ada makanan (antaranya) lemang, ketupat, sate. Itu menu yang saya sahkan semalam, akan ada (juga) gerai-gerai, ada cendol, ada ais kacang, berapa duit sangat, tak membazirlah inshaAllah," katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang terutama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengkritik penganjuran majlis jamuan hari raya Kerajaan Persekutuan di enam negeri yang bakal dianjurkan mulai hujung minggu ini.
Menurut Sanusi, penganjuran rumah terbuka akan melibatkan kos yang tinggi dan wajar diadakan di Putrajaya sahaja bagi mengelakkan pembaziran.
Selain Kedah, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).
Comments