Jambatan Kedua P Pinang jasa besar Tun Abdullah - Sim Tze Tzin
- Suara Keadilan
- Apr 15
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jasa sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi terus dikenang meskipun anak jati Bayan Lepas Pulau Pinang itu telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN).
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Jambatan Sutan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan antara sumbangan terbesar Tun Abdullah bagi pembangunan di negeri itu yang menerima jolokan Pulau Mutiara.
''Pak Lah akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang meluluskan projek pembinaan JSAHMS yang menghubungkan Bayan Baru dan Batu Kawan yang mencecah kos RM4.58 bilion.
''JSAHMS kini memainkan peranan penting dalam menghubungkan Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Kawasan Perindustrian Batu Kawan dalam pembangunan ekonomi negeri.
"Hasilnya, ia telah menjana pelaburan berimpak tinggi, pekerjaan berpendapatan tinggi dan pembangunan teknologi tinggi," katanya menerusi muat naik di Facebooknya.
Ketika hayatnya, Allahyarham yang lahir pada 26 November 1939 merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008.
Allahyarham juga mengemudi tampuk pemerintahan negara apabila menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Al-Wataniah dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.
Selain itu, Tun Abdullah juga memperkenalkan Islam Hadhari sebagai dasar pada 2004 ketika beliau menjadi Perdana Menteri bertujuan menggalakkan pendekatan pembangunan yang progresif dan seimbang berdasarkan prinsip Islam.
Comments