Jamawi seru belia Sabah ceburi sektor pertanian
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Golongan belia di Sabah diseru menceburi sektor pertanian sebagai industri moden berpotensi tinggi, sekali gus menjamin keterjaminan makanan negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata penglibatan golongan itu amat penting bagi melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing untuk memastikan kelangsungan sektor itu.
"Jangan malu jadi petani. Kita tidak mahu sektor ini hanya diterajui golongan berusia 50 atau 60-an sahaja. Sebaliknya ada generasi penyambung yang akan memacu industri ini pada masa hadapan," katanya dipetik.
Jamawi berkata begitu selepas pelancaran Agropelancongan Durian Sabah dan pelancaran Risalah Sabah Agro Tourism Edisi Kedua di Kota Kinabalu.
Jamawi sementara itu berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi program latihan belia di bawah agensi kementeriannya, termasuk pelaksanaan program Mentor-Menti yang bermula tahun hadapan.
Dalam masa sama pihaknya juga sedang merangka kerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan bantuan pembiayaan berbentuk geran dan dibayar semula tanpa faedah, bagi membantu anak muda memulakan perusahaan pertanian mereka.
"Penyertaan aktif anak muda dalam sektor ini bukan sahaja menjana ekonomi, malah memastikan bekalan makanan negeri terus terjamin pada masa hadapan," tambah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Melalap itu.









Comments