Jalur Gemilang: Pas meludah ke langit, terkena muka sendiri - Pemuda PH
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyindir sikap berpilih-pilih sesetengah pihak, khususnya Pas dalam menilai kesilapan teknikal melibatkan Jalur Gemilang.
Ketuanya, Woo Kah Leong dipetik laporan media berkata, sikap terburu-buru menghukum kesilapan grafik pihak lain sebelum ini telah memakan diri apabila kesilapan sama turut dilakukan parti itu sendiri.
Bagaimanapun apabila kesilapan sama dilakukan pihak berkenaan, mereka kini seolah-olah ‘Meludah ke langit, terkena muka sendiri’
"Kini, pihak yang berlagak hero dan mengecam orang lain membuat salah pula terpaksa menelan ayat-ayat sendiri
"Mereka ‘meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri’," katanya sebagai menyindir kenyataan-kenyataan keras yang pernah dibuat oleh pemimpin Pas terhadap pihak lain sebelum ini.
Kenyataan itu merujuk kepada logo rasmi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 dimuat naik melalui media sosial rasmi Pas Terengganu, yang didapati memaparkan Jalur Gemilang secara salah.
Logo tersebut dikritik ramai orang setelah memaparkan bintang kuning 11 bucu dan 12 jalur merah dan putih berselang-seli yang berbeza daripada reka bentuk sebenar.
Kah Leong sementara itu mengimbas kembali kritikan keras dilempar Pas kepada pihak lain ketika kesilapan dilakukan termasuk mencadangkan agar kewarganegaraan individu terbabit ditarik semula.
"Mereka sebelum ini menuduh pihak lain bersikap anti-nasional, malah ada yang mengaitkan kesilapan grafik dengan penghinaan terhadap negara.
"Kalau guna logik sama, adakah Pas Terengganu juga wajar ditutup? Atau lucutkan kewarganegaraan editor yang muat naik bendera salah itu?" soalnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, isu kesilapan grafik tidak wajar dijadikan alat politik murahan, sebaliknya semua pihak seharusnya perlu lebih matang dan berfokus kepada agenda membina negara.
"Jangan hukum orang ikut selera politik. Jadilah lebih adil dan konsisten.
"Ini bukan masa untuk bermain dengan sentimen remeh – rakyat mahu pemimpin yang berprinsip dan berintegriti," tambahnya lagi.
Comments