Jalur Gemilang: Bulan Ogos untuk perpaduan, bukan provokasi murahan
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 2 min read

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How (gambar) menegaskan bahawa bulan Ogos harus menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia, bukannya gelanggang politik berunsur provokasi.
Beliau merujuk tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh yang mengecam insiden memasang Jalur Gemilang terbalik di Pulau Pinang dengan demonstrasi dan menggesa pendakwaan dilakukan terhadap pemilik kedai yang melakukan hal tersebut.
"Bendera kebangsaan adalah salah satu lambang tertinggi negara. Hormat secara adat dan penghormatan secara jiwa bangsa terhadapnya adalah nilai yang dipersetujui bersama.
"Sebarang perbuatan yang sengaja menghina atau merendahkannya wajar melalui proses undang-undang. Namun, insiden bendera dipasang terbalik akibat kesilapan yang tidak disengajakan bukanlah malapetaka negara, namun ia telah dijadikan senjata politik oleh Akmal," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Howard Lee, pendekatan Akmal yang disertai gertakan bukan sahaja bertentangan dengan semangat undang-undang, malah berisiko menjejaskan keselamatan awam.
"Hari ini parti Akmal adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, yang halatujunya adalah untuk menjadikan Malaysia lebih penyayang dan bukannya menghukum; untuk memberi tumpuan kepada perpaduan dalam kemajmukan dan bukannya pemerintahan berasaskan ketuanan satu pihak.
"Untuk meraikan serta memanfaatkan kepelbagaian dan bukannya mengasimilasikannya menjadi keseragaman. Akmal seharusnya menyesuaikan diri dengan hala tuju partinya sebagai parti pemerintah masa kini, bukannya terus mengulang skrip Ketua Pemuda UMNO dua dekad yang lalu," ujarnya.
Howard turut menjelaskan bahawa DAP memilih untuk meredakan keadaan walaupun dikecam kerana tidak membalas provokasi secara konfrontasi yang dicetuskan.
"Fikirkan, jika kedua-dua pihak menggerakkan ribuan orang untuk bertembung di jalanan, hanya perlu satu percikan api untuk rusuhan berlaku, dan seluruh masyarakat akan menanggung akibatnya.
"Daripada menjadikan jalanan bulan Merdeka sebagai gelanggang kuasa dan kemarahan, lebih baik kita biarkan undang-undang menangani mereka yang memprovokasi, dan biarkan sejarah mencatat siapa sebenarnya yang memelihara keamanan," ujarnya.
Justeru, beliau berkata bahawa bendera Malaysia merupakan simbol perpaduan dan kepelbagaian, oleh itu tidak wajar Jalur Gemilang diperalatkan sebagai latar politik perpecahan.
Tegas Howard Lee, bulan Ogos adalah bulan untuk bendera negara berkibar megah di atas nama perpaduan, bukan menjadi alat peraga dalam teater politik murahan.









Comments