top of page

Jalan Semakin Cerah Buat PH Hadapi PRU 15


Oleh: Hassan Abdul Karim


Teka-teki politik sudah berakhir. Kini realiti jelas yang muncul. Umno berkerat rotan; berpatah arang dengan Bersatu. Pas pula behenti bermain di dua kolam. Pas tinggalkan kerjasama dengan Umno. Pasangan barunya lebih bergetah iaitu Bersatu yang menjanjikan Pas dapat masuk Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dalam kedudukannya di pihak kerajaan, bukan lagi pembangkang seperti selama ini. Perpaduan umah dengan Umno telah Pas lupakan. Muafakat Nasional (MN) gugur dalam kandungan. Kepentingan politik pilihan raya lebih mengiyurkan lagi berselera daripada slogan muluk-muluk seperti demi bangsa dan demi agama.


Semasa PRU 14 dulu juga ada tiga gabungan, iaitu BN, Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Sejahtera (Pas, dan parti-parti kecil yang wujud di musim pilihan raya). Jika keadaan kekal seperti sekarang, maka kemungkinan besar dalam PRU15 ada tiga gabungan politik juga yang akan berentap tiga penjuru, iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.


BN (Umno, MCA dan MIC), PN (terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan lain-lain) dan PH (KEADILAN, DAP dan Amanah). Parti-parti di luar BN, PN dan PH ialah Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Warisan, Muda, PSM (Parti Sosialis Malaysia) dan lain-lain.


Jika pertembungan tiga penjuru ini berlaku, yang mendapat faedah yang besar ialah Pakatan Harapan.


Kelemahan BN hadapi PRU


Mari kita analisa secara ringkas kekuatan dan kelemahan tiga gabungan ini: BN, PN dan PH


BN itu sebenarnya Umno. MCA dan MIC sekadar 'melukut di tepi gantang'. “Masuk tak penuh. Keluar pun tak kurang.” Jadi kita analisa Umno sahaja. Siapa tidak tahu Umno yang terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad ini punya wang yang banyak. Anggota Umno saja seramai 3.3 juta orang sekarang, sebesar Parti Komunis Indonesia pimpinan D.N. Aidit satu waktu dulu.


Umno ini mempunyai organisasi akar umbi yang luas dan tersusun serta bersatu. Yang berpecah ialah di peringkat pimpinannya. Ada Kluster Mahkamah yang imejnya pemimpinnya tercalar kerana sedang didakwa dengan berpuluh tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram. Pemimpin-pemimpin besar mereka itu dalam kluster ini. Ada pula kelompok yang dipanggil Kluster Menteri, yang lebih setia dan tunduk pada Perdana Menteri daripada Presiden Parti Umno sendiri. Umno telah isytiharkan dia akan bergerak solo dalam PRU15. Mungkin parti Umno ini akan muncul sebagai hero atau mungkin juga kecundang zero. Biarkalah “Si Luncai terjun dengan labu-labunya...”


PN akan guna jentera kerajaan


Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan darurat untuk terus berkuasa, adalah satu perikatan yang tebal muka dan tidak tahu malu. Mereka tidak peduli orang kata Kerajaan PN tidak ada keabsahan, tidak ada majoriti di Parlimen. Proklamasi Darurat memberi PN lesen untuk berkuasa. Pergi jahanam apa itu demokrasi, check and balance; pergi jahanam apa itu pengasingan kuasa dan kebebasan Parlimen, kedaulatan undang-undang ataupun keluhuran Perlembagaan. Yang penting dia ada Ordinan Darurat dengan kuasa-kuasa perlu yang didikri satu persatu.


Kerajaan PN yang berperangai sedemikian akan menghadapi rakyat dalam PRU15 nanti. Menarik untuk melihat apakah sikap dan pendirian para pengundi terhadap Kerajaan PN yang berani buka pasar malam, berani buka panggung wayang, berani buka sekolah tetapi tidak berani buka Parlimen.


Namun siapa boleh menafikan PN mempunyai jentera kerajaan apabila dia mengadakan PRU15. Muhyiddin Yassin yang menjadi Pengarah Pilihan raya BN di bawah PM Najib Razak dalam PRU13 amat faham apa ertinya jentera kerajaan untuk membantu parti politik dalam pilihan raya. Tetapi PMi kelapan itu amat faham bahawa kerajaan PN mempunyai kepimpinan yang amat lemah. Selain daripada Muhyiddin siapa lagi para general PN yang berwibawa? Muhyiddin dikelilingi oleh para pemimpin melompat daripada Umno dan KEADILAN. 13 juara melompat dari Umno dan 15 juara melompat dari KEADILAN. Mereka ini digelar pengkhianat oleh orang-orang Umno dan KEADILAN. Dalam hal episod lompat si katak lompat ini, nasib Umno dan KEADILAN tidak banyak berbeza.


Persoalannya, adakah rakyat akan sokong PN yang terdiri daripada Bersatu dan Pas yang berpasangan semata-mata untuk faedah menjaga kepentingan politik masing-masing untuk terus hidup dan berkuasa? Adakah PN ini ada Prinsip Asas Bersama atau common flatform atau common philosophy atau ideologi yang sama?


Mungkin ada. Pemimpin Bersatu dan Pas akan menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah bersandarkan kepada “perpaduan Melayu” atau “Malay Unity”. Satu soalan boleh ditanya kepada Bersatu dan Pas, adakah mungkin slogan “perpaduan Melayu” itu memberi sebarang makna tanpa ada Umno bersama?


PH kuat hebat strategi betul


Kita telah lihat serba kekurangan dan kelemahan Umno dan PN seperti dijelaskan di atas. Jadi PH perlu atur baik-baik strateginya untuk menghadapi PRU 15. PH sekarang terdiri hanya tiga parti iaitu KEADILAN, DAP dan Amanah. Cukup dengan tiga parti itu. Jangan tambah-tambah, dan jangan dikurangi. Mahathir Mohamad dan Pejuang tidak dalam PH. Itu bagus dan tepat. Yang sudah-sudahlah. Tanpa Mahathir, PH mempunyai peluang yang lebih baik menghadapi PRU 15 nanti.


Namun ada faktor yang penting yang akan menentukan sebelum dan selepas PRU15. Iaitu faktor kekuatan-kekuatan politik dari Malaysia Timur, Sarawak dan Sabah. Ini perlu diberi perhatian serius dan bijaksana oleh PH. Siapa yang hendak jadi kerajaan dan hendak berkuasa di Putrajaya pada PRU15 nanti, maka mestilah mendapat sokongan dari GPS Sarawak (Gabungan Parti-Parti Sarawak) dan juga parti Warisan dari Sabah. Yang jelas gabungan Bersatu dan Pas dalam PN di peringkat pusat dan nasional besar kemungkinan sukar diterima oleh rakyat Sarawak dan Sabah.


Manifesto mudah difahami rakyat


Maka inilah masanya PH perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang akan turun mengundi dalam PRU 15 nanti. Pertama PH jelas mempunyai falsafah perjuangan yang sama iaitu agenda Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama yang boleh diterima di Semenanjung dan di Malaysia Timur. Malaysia yang adil untuk semua, merapatkan jurang kaya miskin antara kaum, dan antara wilayah.


PH yang perlu mengemukakan manifesto pilihan raya yang lebih realistik, pragmatik dan mudah dihadam oleh rakyat dengan keutamaan diberi kepada isu ekonomi untuk menjana pertumbuhan, gaji pekerja yang lebih adil dan peluang pekerjaan baharu untuk generasi muda dan yang menganggur. Di samping itu agenda reformasi terhadap usaha memperbaiki institusi-institusi penting negara tidak dilupai seperti kebebasan Parlimen, kebebasan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya yang adil dan bersih, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia yang profesional serta berintegriti.


Dengan keyakinan bahawa PH mempunyai masa hadapan yang cerah dengan perkembangan politik yang berlaku kini, maka PH mesti kekal bersatu padu dan fokus dalam usaha menghadapi PRU 15 yang semakin ketara dekat waktunya. Segala “duri dalam daging” perlu dicabut. PH yang mempunyai kepimpinan yang kuat dan teruji; PH yang mempunyai pengalaman memerintah walaupun sekadar 20 bulan, yang dapat mengenal kelemahan dan kekuatannya semasa menjadi kerajaan dulu; PH yang berbilang kaum dan berbilang agama; PH yang yang muncul dengan agenda reformasi dan bersikap sederhana serta bijaksana adalah resepi untuk kejayaan dalam PRU 15 nanti.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page