top of page

Jalan Pantai Batu Rakit runtuh: Lakukan audit forensik atas kegagalan projek

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read
ree

Runtuhnya Jalan Pantai Batu Rakit di Daerah Kuala Nerus, Terengganu buat kali kedua merupakan kegagalan sistem dan penyeliaan oleh kerajaan Pas Terengganu.


Hal itu dinyatakan Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias.


Katanya, isu tersebut amat serius kerana kerja kerja baik pulih jalan tersebut merupakan kendalian penuh Kerajaan Negeri dengan pembiayaan daripada Persekutuan.


"Kegagalan berulang ini bukan lagi isu teknikal biasa, ia adalah isyarat jelas kelemahan sistem pengurusan projek dan penyeliaan Kerajaan Negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Aiman Wan Alias
Aiman Wan Alias

Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan faktor semula jadi hakisan pantai tanpa menilai punca sebenar kelemahan, termasuk aspek reka bentuk, penilaian risiko dan ketahanan terhadap perubahan iklim.


"Setiap projek pesisir pantai sepatutnya direka bentuk berasaskan penilaian risiko, ketahanan terhadap perubahan iklim serta standard kejuruteraan pesisir pantai moden," katanya.


Sehubungan itu, MPN KEADILAN Terengganu menggariskan tiga cadangan utama bagi menangani isu berkenaan.


Kata Aiman, Kerajaan Negeri seharusnya melakukan audit forensik melibatkan pakar geoteknikal, kejuruteraan pesisir pantai dan penilaian risiko bagi mengetahui kelemahan sebenar projek berkenaan.


"Audit biasa tidak mencukupi kerana projek yang gagal dua kali memerlukan siasatan lebih mendalam dan profesional."


Beliau juga menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan pelan menyeluruh yang memetakan keadaan fizikal pesisir pantai, risiko hakisan, ketahanan ombak serta status infrastruktur yang terdedah.


"Tanpa pemetaan saintifik dan analisis risiko yang lengkap, Terengganu akan terus menanggung kerugian akibat projek yang gagal bertahan dalam keadaan pesisir panfai yang semakin ekstrem," katanya.


Selain itu, MPN Terengganu juga mendesak Kerajaan Negeri memperkenalkan pendekatan Outcome-Based Contracting bagi memastikan kontraktor bertanggungjawab terhadap prestasi jangka panjang projek.


"Kontraktor tidak lagi boleh dibayar hanya kerana projek siap secara fizikal, mereka mesti bertanggungjawab ke atas ketahanan struktur dan keberkesanan hasil projek," ujarnya.


Aiman menegaskan bahawa rakyat berhak menerima projek berkualiti dan selamat, sementara Kerajaan Negeri perlu mengutamakan pendekatan lebih saintifik, telus dan profesional dalam pengurusan infrastruktur.


"Runtuhan berulang adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri gagal menyediakan sistem pemantauan dan reka bentuk yang berwibawa. Terengganu memerlukan pendekatan yang lebih saintifik, lebih telus dan lebih profesional," tegas beliau lagi.


MPN KEADILAN Terengganu berharap tindakan segera dan reformasi menyeluruh dapat dilaksanakan bagi mengelakkan insiden serupa terus berulang, sekali gus memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page