top of page

Jalan kaki tuntut keluar KWSP dipertikai, ada cara lain selesai masalah kewangan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Apr 6, 2023
2 min read


Pejalan kaki demi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Noorazlan Ismail yang berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini dipertikaikan banyak pihak mengenai keupayaan beliau melakukan perjalanan lebih 300km dalam tempoh singkat.


Noorazlan memulakan perjalanan dari tol Skudai, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) pada 28 Mac dan tiba di Istana Negara pada 3 April lengkap dengan blazer serta songkok.


Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) Muhammad Haziq Azfar Ishak, perjalanan jauh tersebut dengan usia Noorazlan mencecah 49 tahun tidak boleh dielakkan dipersoalkan oleh pelbagai pihak.


"Kena ingat ini bukan kali pertama orang ada misi jalan kaki macam ini. Sebelum ini kita tengok ada orang buat misi jalan kaki 300km untuk kempen kenser dan paling cepat dia habiskan perjalanan dalam masa 8 hari.


"Kemudian kalau kita periksa lebih teliti, kita masuk macam macam faktor, hujan, makan, rehat, solat dan sebagainya, dia (aplikasi perjalanan berpandukan satelit) kata boleh pergi sampai 40 hari kalau berjalan 8 jam sehari," katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, banyak cara lain yang boleh dilakukan sekiranya Noorazlan atau individu yang tertekan menghadapi masalah kewangan seperti beliau benar benar jujur mahu menyelesaikan isu berbangkit.


Kata Haziq, kerajaan telah pun menawarkan pencarum yang perlukan wang boleh mencagarkan simpanan KWSP mereka untuk pinjaman bank dan mereka tidak akan kehilangan deposit simpanan berkenaan.


Beliau curiga mungkin kisah masalah kewangan Noorazlan telah diperbesar besarkan.


"Kalau kita check (cerita masalah kewangan macam) tak logik. Dalam keadaan sekarang kerajaan telah pun umumkan bantuan pinjaman bank kepada pencarum KWSP yang sebenarnya matlamat sama dengan pengeluaran KWSP (bayar hutang dsb)


"Kita faham ada orang hutang banyak. Namun kerajaan dalam melindungi mandat KWSP, iaitu simpanan hari tua telah memperkenalkan cagaran KWSP yang hasil akhirnya sama seperti kita keluarkan KWSP. Cuma boleh bayar ansuran (pinjaman) dan boleh pilih bayar umur 50 tahun waktu keluar (sebahagian) KWSP.


"Jadi nasihat kita, kalau abang ini umur 49, tahun depan dah 50, boleh keluar KWSP (bayar pinjaman)," katanya.

Noorazlan tiba di luar pagar istana dengan pakaian rapi

Selain itu, individu seperti Noorazlan juga, menurut Haziq, boleh mendapatkan nasihat Agensi Kaunserling Pengurusan Kredit (AKPK) andainya menghadapi masalah hutang yang tidak mampu diuruskan.


"Kalau hutang banyak sangat tak tau nak urus jumpalah AKPK dapatkan nasihat.


"Itu lebih produktif berbanding berjalan," katanya lagi.


Tambah Haziq, bantuan yang Kerajaan Perpaduan berikan lebih banyak berbanding kerajaan sebelum ini termasuk kepada miskin tegar atau yang memerlukan kewangan khusus untuk berniaga dan sebagainya.


Perjalanan panjang Noorazlan dipertikaikan oleh netizen. Terbaharu dalam artikel di Malaysiakini, wartawan penyelidik mempertikaikan apabila beliau berdasarkan kemaskini di media sosial mengambil masa tiga hari untuk menyelesaikan perjalanan kira-kira 60km dari tol Skudai hingga RnR Machap. Hal itu bermakna Noorazlan hanya berjalan secara purata sejauh kira-kira 20km bagi setiap hari.


Dengan jarak dan kelajuan sama, perjalanan yang berbaki kira-kira 252km ke Istana Negara kelihatan tidak munasabah apabila turut mengambil masa selama tiga hari.


Berdasarkan kiraan, dia memerlukan masa selama kira-kira 12 hari untuk tiba di Istana Negara jika dia menggunakan kelajuan sama yang digunakan dari Skudai ke Machap.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page