Penukaan nama Jalan Temiang di Seremban kepada Jalan Dr Chen Man Hin baru baru ini telah dijadikan bahan politik perkauman oleh sesetengah golongan.
Menurut aktivis penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan, tuduhan penindasan kepada orang Melayu segera dilemparkan lanjutan kontroversi itu kerana tokoh yang diabadikan kepada sebatang jalan tersebut berasal dari parti DAP.
Namun, katanya, apakah kerana seseorang itu berbangsa Cina dan dari DAP maka jasanya perlu dilenyapkan terus daripada sejarah negara.
"Mending Dr Chen Man Hin seorang pemimpin yang sangat berjasa kepada bukan sahaja kaum Cina di Seremban tetapi kepada semua bangsa. Beliau terkenal sebagai doktor yang amat prihatin. Jika pesakit daripada golongan miskin, beliau memberikan rawatan secara percuma.
"Beliau pernah menjadi doktor di Hospital Besar Seremban dan kemudian membuka kliniknya sendiri di tengah bandar Seremban.
"Jika berjasa itu maksudnya perlu jadi wakil rakyat sepertimana nama jalan lain yang terdiri daripada nama pemimpin politik, mendiang Dr Chen pernah menjadi ADUN Rahang selama 17 tahun, Ahli Parlimen Seremban selama hampir 20 tahun dan beberapa tahun sebagai senator Dewan Negara. Apakah jasa sebagai wakil rakyat ini masih tidak mencukupi?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Lebih daripada itu, kata Edy Noor, secara demografi jalan tersebut yang sepanjang 7.9 kilometer telah didiami oleh majoriti kaum Cina. Justeru itu, pemilihan jalan Temiang untuk diganti nama Jalan Dr Chen Man Hin adalah bersesuaian dengan demografi penduduk.
Namun katanya, apabila sebatang jalan lain dinamakan sempena nama bekas Mufti Negeri Sembilan tidak pula terdapat bantahan daripada mana mana kaum.
"Mereka yang sakit hati ini tidak pula membangkitkan nama baru Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza, sempena nama bekas Mufti Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Menteri Besar baru-baru ini.
"Fokus mereka ialah permainan kaum, cukup-cukuplah mencetus semangat api perkauman, negara ini dambakan kestabilan dan keamanan.
"Apa yang rugi kepada bangsa Melayu dengan menamakan jalan Dr Chen Man Hin? Kita sebenarnya tidak rugi, malah sikap toleransi ini akan lebih dihormati oleh bangsa lain," katanya lagi.
Comments