top of page

JAKIM diarah kerjasama KPDN ambil tindakan syarikat salah guna logo halal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 14
  • 1 min read

ree

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarahkan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan dan membawa ke muka pengadilan terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk merupakan kesalahan yang serius.


"JPM (Hal Ehwal Agama) ingin memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.


"Tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya dipetik.


Mohd Na'im berkata pihaknya turut berasa dukacita dengan penjualan produk 'ham dan cheese' yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di premis jualan runcit 24 jam di Universiti Malaya (UM).


"JPM (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan apa-apa isu yang melibatkan integriti dan kepentingan awam.


"Semua pihak dimohon untuk sentiasa merujuk kepada JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri dalam isu-isu berkaitan halal," katanya.


JAKIM dalam kenyataan media sebelum ini mengesahkan produk 'ham dan cheese' yang dijual dalam sebuah premis di UM tidak mempunyai sijil halal yang sah dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.


Dalam pada itu, KPDN dalam kenyataan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.


Kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page