Banyak pihak selalu melaung-laungkan slogan Islam adalah penyelesaian tetapi dari segi penyelesaian mereka cenderung menggunakan kaedah menghukum.
Kadang-kala idea penyelesaian tidak memerlukan kaedah merumitkan sebaliknya pemikiran kreatif tanpa perlu bertegang urat mempertahankan prinsip masing-masing, boleh menyelesaikan masalah.
Demikianlah juga tentang rungutan membabitkan pekerja Islam terpaksa berurusan dengan jual beli arak di kedai serbaneka. Masalah jualan arak di kedai serbaneka juga sering menimbulkan konflik dengan penduduk setempat membabitkan kawasan majoriti Islam.
Bagi Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, jalan keluar terbaik menyelesaikan masalah tersebut ialah memperkenalkan mesin layan diri penjualan arak di kedai serbaneka yang boleh mengelakkan pekerja Islam terlibat secara langsung jika ada pelanggan mahu membeli arak di premis perniagaan itu.
"Saya rasa sedih tengok cashier (jurujual) di Seven Eleven dan Speeedmart 99 yang (terpaksa) jual arak. Ada tak mekanisme bersesuaian supaya cashier itu boleh terus bekerja tanpa perlu dia deliver (menyerahkan) minuman arak itu.
"Contohnya ada perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan yang memberikan panduan supaya jualan arak itu melalui vending machine (mesin layan diri), jadi dia tidak terus menyerahkan atau menjual minuman keras tersebut secara langsung," katanya ketika membuat pencelahan pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab kepada soalan Suhaizan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata setakat ini pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan usaha meningkatkan kesedaran atau dakwah bagi membantu pekerja Islam mencari jalan keluar daripada bekerja di premis melibatkan arak dengan memberikan bantuan zakat atau menyertai program keusahawanan asnaf.
"Terima kasih Yang Berhormat Pulai, kita sangat mengalu-alukan idea-idea tambahan antara yang kita lakukan adalah melalui platform dakwah sama ada media sosial atau kuliah oleh guru-guru takmir.
"Kita juga membantu mereka yang sedang mencari jalan keluar daripada bekerja di premis arak untuk mendapatkan bantuan sementara dari pusat zakat dan majlis agama Islam sehingga mereka mendapat kerja bersesuaian menerusi program pembangunan asnaf.
"Idea Yang Berhormat Pulai sangat kita hargai dan kita akan cuba bincangkan di peringkat-peringkat berkaitan," katanya.
Terdahulu perkara diajukan dalam soalan asal Ahli Parlimen Jasin, Dr Zulkifli Ismail dari Perikatan Nasional (PN) yang bertanya apakah tindakan JAKIM untuk membantu dan mengelakkan individu Islam yang bekerja di premis menjual arak terlibat dengan aktiviti penjualan minuman keras itu.
Beliau dilihat cuba menggasak kerajaan melalui soalan tambahan dengan bertanyakan adakah terlibat sesi libat urus dengan kerajaan negeri dalam soal pelaksanaan enakmen berkaitan pekerja Islam terlibat dengan arak.
Comments