top of page

Jajaran Semenanjung-Borneo beri kelebihan PH pertahan Kerajaan Madani

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
3 hours ago
2 min read
Hubungan PMX bersama DS Abang Johari dan DS Hajiji amat baik dalam melaksanakan MA63. Foto:PMO
Hubungan PMX bersama DS Abang Johari dan DS Hajiji amat baik dalam melaksanakan MA63. Foto:PMO

Ulasan Berita: Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan pembukaan Perhimpunan Agung Umno atau PAU2026 semalam bukan sahaja mengguris hati penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) tetapi juga memperlihatkan sikapnya yang tidak beradab terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).


Hal ini kerana beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri telah secara terbuka menyindir, mempersenda dan memperlekeh PMX selaku “bossnya” dalam Kerajaan Perpaduan.


Tidak pernah berlaku dalam sejarah yang mana pemimpin nombor dua bertindak sebegitu tidak sopan dan biadap terhadap pemimpin nombor satu negara.


Secara logiknya, PH yang mengetuai Kerajaan Perpaduan tidak harus lagi bergantung harap kepada BN dalam mengekalkan Kerajaan Perpaduan ini berikutan perbuatan yang ditunjukkan Zahid itu.


Tetapi bolehkah PM Anwar mengekalkan Kerajaan Perpaduan ini tanpa BN?


Mari kita lihat angka dan fakta mengenainya terlebih dahulu.


Peluang PH kekalkan kerajaan


PH ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 15 lalu mempunyai jumlah Ahli Parlimen seramai 82 orang yang merangkumi 31 daripada KEADILAN, 40 DAP, 8 AMANAH, 2 UPKO dan 1 Muda.


Bagaimanapun jumlah Ahli Parlimen KEADILAN hanya tinggal 28 setelah Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen meletakkan jawatan.


UPKO pula telah keluar daripada PH tetapi kemudian menyertai GRS, gabungan politik Sabah yang pro Kerajaan Perpaduan.


Sementara parti Muda telah menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan sejak 2023, tetapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat kekal mesra terhadap kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri.


Hal ini bermakna, selain PH sekarang mempunyai jumlah Ahli Parlimen seramai 76 orang, UPKO juga dikira masih merupakan penyokong kerajaan.


Jumlah besar Ahli Parlimen


Ertinya, jumlah besar Ahli Parlimen yang menyokong PH ialah 78 orang.


GPS di Sarawak mempunyai 23 Ahli Parlimen dan GRS di Sabah yang mempunyai 6 Ahli Parlimen sehingga kini memang diketahui sentiasa memberi sokongan kuat kepada Anwar.


Selain dua gabungan itu, 3 Ahli Parlimen Warisan juga menyokong kepimpinan Anwar, selain enam Ahli Parlimen Bersatu yang menjadi Bebas juga sentiasa menyokong kerajaan.


Jika dicampurkan semuanya: 78 + 1 + 23 + 6 + 3 + 6 = 117. Jumlah tersebut sudah melebihi separuh daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen yang ada.


Ertinya, walau tanpa BN, PMX dan PH masih boleh mempertahankan Kerajaan Madani ini.


Faktor Bersatu kukuhkan kedudukan


Hal itu belum lagi jika dicampur enam Ahli Parlimen Bersatu yang pro Muhyiddin Yassin sekiranya parti itu benar benar meninggalkan Perikatan Nasional atau menyatakan sokongan parti tersebut kepada PH. Dalam hal ini PMX mempunyai sokongan lebih kukuh iaitu sejumlah 123 Ahli Parlimen.


Paling penting, jajaran baharu ini memperlihatkan kerjasama yang lebih bersemangat Malaysia, iaitu antara Semenanjung dan Borneo dan mengenepikan isu 'Melayu terancam' atau 'Islam ditindas'.


Dengan angka ini barangkali juga sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri meletakkan titik noktah terhadap Umno yang mula biadap, tidak hormat dan secara terbuka dan mempersenda beliau sebagai ketua kerajaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page