top of page

Jahil samakan hubungan Melayu-bukan Melayu seperti Israel-Palestin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Tindakan wartawan sebuah portal berita tempatan menyamakan hubungan kaum Melayu dan bukan Melayu di negara ini dengan situasi peperangan antara bangsa Yahudi Israel dan Arab Palestin merupakan satu pandangan yang jahil dari sudut sejarah, fakta dan realiti sosial.


Menurut Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Omar Mokhtar A Manap (gambar) tindakan wartawan tersebut amat mengelirukan kerana hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India di negara ini tidak pernah dibina atas asas penjajahan, penindasan sistematik atau penghapusan identiti seperti yang dilakukan oleh Yahudi Israel terhadap umat Islam Palestin.


"Menyamakan kedua-duanya bukan sahaja tidak tepat, malah mencerminkan kegagalan memahami konteks sebenar konflik antarabangsa dan realiti negara sendiri.


"Kedua, sejarah Malaysia membuktikan bahawa Melayu, Cina dan India pernah bersatu menentang penjajah British. Kemerdekaan negara ini tidak dicapai oleh satu kaum menindas kaum lain, sebaliknya lahir daripada kerjasama dan kesedaran kolektif bahawa penjajahan asing perlu ditamatkan.


"Fakta ini direkodkan dalam sejarah negara dan tidak boleh dipadam atau diputar belit.


"Tidak masuk akal dan amat mengelirukan untuk menyamakan penjajah Zionis Israel dengan orang Melayu, dan rakyat Palestin yang dijajah dengan kaum lain di Malaysia," bidas beliau dalam kenyataan hari ini.


Menurut Omar, soalan kontroversi berkenaan diajukan pada sidang media sempena kehadiran ahli politik veteran United Kingdom, George Galloway ke negara ini pada 13 Januari lalu.


Dalam kenyataan sama, Omar menegaskan, penjajahan di Malaysia dilakukan oleh entiti asing, bukan oleh mana-mana kaum tempatan terhadap kaum yang lain.


"Cubaan membuat analogi sebegitu hanyalah satu manipulasi naratif yang berbahaya dan tidak berlandaskan kebenaran.


"Amat malang apabila Malaysia bakal mencapai 70 tahun kemerdekaan, namun masih wujud segelintir pihak yang gagal membuang cara fikir rasis dan prejudis, sehingga sanggup mencetuskan perbandingan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.


"AMK menyeru semua pihak khususnya segelintir pemain media agar lebih bertanggungjawab, berilmu dan beretika dalam menjalankan tugas, khususnya apabila melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, sejarah negara dan konflik kemanusiaan antarabangsa," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page