Kempen Pemilihan KEADILAN 2022 seharusnya dilakukan dengan tertib agar memperlihatkan saling kerjasama dalam pimpinan KEADILAN.
Hal itu diungkapkan oleh calon Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan pada Majlis Rapat Mega #KitaSemuaKEADILAN di Cabang Gombak, malam tadi.
Menurut beliau, tiada guna menang dengan cara yang dipandang tidak molek dalam kalangan rakyat kerana KEADILAN akan sukar untuk mendapatkan sokongan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 akan datang.
"Kita kena jaga keharmonian. Saya minta kawan kawan di Gombak supaya jaga perilaku dan tindakan supaya nama baik kita dapat dipelihara. Dalam masa sama kita bertarung dengan semangat berpasukan.
"Walau pun dalam pertandingan terdapat perbezaan namun kita boleh angkat agenda kemaslahatan bersama sebagai satu agenda penting," katanya.
Amirudin juga membariskan pencapaian beliau di DUN Batu Caves yang kini dikenali sebagai Sungai Tua sejak 2008 dan kemudian sebagai Ketua Cabang Gombak dalam mengekalkan prestasi cemerlang khidmat masyarakat serta sokongan dalam pilihan raya.
"Kita tidak amal politik perkauman. Sebab itu di Gombak kawasan majoriti Melayu kita dapat tautkan hati mereka. Sebab orang Melayu, Cina dan India selesa dengan kita. Saya bertanding di kawasan Batu Caves sebelum ini. Calon MIC tetapi majoriti orang India pada 2008 sampai sekarang masih beri sokongan 70 - 80% kepada kita.
"Ada kawasan Selayang Baru majoriti masyarakat Tionghua. Kita mencatat hampir 95% sokongan mereka kepada PH dan KEADILAN.
"Kita ada kawasan Kg Nakhoda, Kg Kerdas, pilihan raya sebelum ini sokongan 50% tetapi pilihan raya yang lepas sokongan lebih 70%.
"Menandakan parti ini adalah parti yang memberikan keyakinan. Maknanya perjuangan kita boleh tarik orang Melayu, Cina, India. Boleh yakinkan Orang Asli, semua kelompok dan kaum dalam negara kita," katanya.
Tambah Menteri Besar Selangor itu, biar pun pemimpin utama Ahli Parlimen Gombak telah mengkhianati parti namun 80% anggota KEADILAN kekal setia.
Hal itu katanya berkat semangat penyatuan yang dibina dan kesetiaan kepada parti.
"Biar pun bekas Ahli Parlimen kita memilih untuk mengkhianati mandat sedia ada. 80% anggota kekal setia dan pertahan mandat kita perolehi 2018 lalu. Anggota setia dan yakin dengan garis perjuangan yang kita bawa.
"Kumpulan ini telah teruji, sewaktu kita susah, sewaktu menang satu kerusi. Teruji sebelum kita menang apa apa kerusi dan menang kerajaan negeri.
"Bila dah nampak kuat ada yang cuba cuba (mencabar) saya. Tidak ada masalah kalau nak cuba tunjuk apa yang lebih baik. Tetapi selama ini kita telah tunjukkan yang terbaik. Dan pasukan ini bukan atas nama individu tetapi kita telah tunjukkan pasukan yang kuat," katanya.
Beliau menyeru kesepakatan dan pasukan yang sedia ada harus dikekalkan untuk menghadapi PRU yang hanya beberapa bulan di hadapan, bagi mengekalkan kubu kuat KEADILAN itu.
"Kesepakatan inilah yang menganugerahkan kemenangan selama 3 penggal berturut turut. Di hadapan kita, selepas pemilihan kita berdepan PRU, sudah pasti kita jadi tumpuan. Sebaiknya kita lalui dengan aman (proses pemilihan).
"Rakyat beri peluang kenapa harus calarkan dan rosakkan dengan keinginan dan keterujaan (untuk bertanding). Oleh itu kita di Gombak sentiasa memandang ke depan. Sediakan bantuan dan sokongan terbaik," katanya lagi.
Comments