Jaga kebajikan pejuang: Kerajaan bela keluarga sukarelawan selaras 'itsar' Islam
- Suara Keadilan

- Oct 5
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Tanggungjawab kerajaan terhadap kebajikan keluarga peserta misi kemanusiaan Flotilla Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini selari dengan tuntutan Islam bahawa apabila seseorang berjuang, keluarga yang ditinggalkan wajar dijaga.
Ketua Biro Latihan dan Perkaderan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Ashraf Hadi (gambar) berkata, pendekatan Perdana Menteri itu bukan sahaja menumpukan kepada keselamatan peserta flotila tetapi juga kepada keluarga mereka di tanah air adalah bukti keprihatinan kepimpinan negara.
"Bila sebahagian peserta ditahan oleh tentera Israel, Perdana Menteri segera mengambil langkah diplomatik demi menjamin keselamatan mereka.
"Tetapi pada masa sama, beliau tidak melupakan keluarga yang berada di sini, yang hidup dalam kebimbangan dan kerisauan. Inilah tuntutan Islam, menjaga kebajikan keluarga para pejuang," kata Ashraf kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau, usaha Perdana Menteri berunding dengan negara-negara seperti Turkiye, Arab Saudi dan Mesir untuk mencari jalan keluar bagi membebaskan peserta 'ditawan' Israel itu juga menggambarkan sifat "itsar", iaitu mendahulukan kepentingan orang lain berbanding kepentingan diri sendiri.
"Ini seakan sama seperti kisah golongan Ansar dan Muhajir dalam sirah Rasulullah SAW. Golongan Ansar sanggup membantu dan melindungi Muhajirin walaupun mereka sendiri serba kekurangan.
"Prinsip itsar inilah yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam membela keluarga peserta flotila," jelasnya.
Ashraf turut menyeru rakyat Malaysia agar turut sama memainkan peranan dengan membantu ahli keluarga peserta melalui sumbangan kepada NGO yang terlibat seperti Cinta Salam Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia.
Katanya, setiap sumbangan akan memberi kelegaan bukan sahaja kepada pejuang di lautan, tetapi juga kepada keluarga mereka di tanah air.
"Kalau kita kenal keluarga mereka, kita boleh terus hulurkan bantuan. Kalau tidak, kita salurkan melalui NGO.
"Tidak wajar kita mengambil mudah hal ini kerana menjaga kebajikan keluarga para pejuang adalah amanah bersama," tegasnya lanjut.









Comments