top of page

Jadual kiraan elektrik baharu agih kos lebih adil kepada pengguna

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 7
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pengenalan jadual elektrik baharu ketika ini merupakan penambahbaikan kepada struktur sebelum ini berdasarkan kepada empat prinsip utama, kata Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar).


Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, empat prinsip berkenaan adalah penetapan tarif yang telus, struktur tarif yang mencerminkan kos pembekalan sebenar, pengagihan kos yang adil dan saksama kepada semua pengguna dan impak perubahan yang minima kepada pengguna domestik.


Katanya, tarif elektrik baharu itu distruktur semula dengan memaparkan caj tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan bagi setiap kategori pengguna berbanding struktur lama yang hanya mempunyai komponen caj tenaga dan caj mininum.


"Selain kita cuba mengekang atau mengelakkan kumpulan pengguna domestik 85 peratus, ada juga elemen yang kita perkenalkan iaitu Insentif Cekap Tenaga.


"Lagi kurang mereka guna, lagi banyak rebat diterima. Yang kedua sebagai contoh, kita juga bagi insentif itu kepada PMKS bagi mereka yang menggunakan 200 kiloWattjam (kWj) ke bawah.


"Sementara itu, untuk domestik bagi mereka yang di bawah 600 kWj, selain Insentif Cekap Tenaga, kos peruncitan itu juga dikecualikan dan juga dari segi pelarasan bahan api, dulu kita pakai ICPT sekarang guna Alpha. Tidak diguna pakai untuk domestik di bawah 600 kWj.


"Jadi, sebab itu untuk tempoh kerangka tiga tahun ini, ia sebenarnya ke arah mereformasi industri elektrik ke arah peralihan tenaga," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Akmal menjawab pertanyaan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu bagaimana kaedah pelaksanaan tarif jadual elektrik baharu mencerminkan komitmen peralihan tenaga demi mencapai karbon sifat menjelang 2030.


Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan tambahan daripada Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin tahu adakah PETRA telah atau akan melantik satu badan audit bebas atau menyediakan laporan berkala bagi meninjau pelaksanaan tarif baharu itu akan menyumbang kepada pengurangan karbon agar rakyat yakin dengan janji kerajaan untuk sifar karbon menjelang 2030.


Daripada segi tanggungjawab di bawah PETRA, Akmal berkata pihaknya sememangnya ke arah pelaksanaan terutamanya melibatkan sektor tenaga.


"Sebab itu dalam memastikan proses ini berjalan seperti mana disebut tadi kita ada empat asas.


"Contohnya kali ini kita nak lebih terbuka, kita juga mahu memastikan cara pengagihan cas itu lebih telus.


"Ini diselaraskan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST). Jadi tanggungjawab kita adalah melaksanakan proses ini supaya ianya selari dengan dasar kerajaan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page