top of page

Jadikan Perlis Negeri Barisan Hadapan Pengeluar Makanan



Oleh: Asrul Nizan Abd Jalil


ULASAN: Adalah menjadi harapan besar dengan terbentuknya Kerajaan Persekutuan baharu yang diterajui Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lembaran baru buat negara kita amnya dan negeri Perlis khasnya.


Potensi yang ada bagi Perlis yang dikurniakan Allah swt dengan cuaca yang baik ditambah pula dengan faktor kesuburan tanahnya diharap mampu menjadi tarikan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan sebagai sebuah negeri ‘Frontliner’ dalam memperkasakan sektor pertanian dengan amalan pertanian mampan yang memanfaatkan kaedah baharu untuk saliran, penggiliran tanaman dan sumber tenaga alternatif sebagaimana yang telah digagaskan Perdana Menteri dalam buku terbarunya ‘Membangun Negara Madani - Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’.


Ini juga adalah selaras dengan keperluan bagi program-program peningkatan sekuriti makanan bagi menangani isu kenaikan harga makanan ayam misalnya dengan bantuan Pusat ke arah merealisasi Negeri Perlis mampu mengusahakan tanaman jagung bijirin berskala besar dalam usaha mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import khususnya kepada ternakan ayam dengan sasaran pengurangan kebergantungan yang besar terhadap bekalan import jagung bijirin.


Hasil jagung gred tinggi


Difahamkan bahawa pada masa kini kualiti jagung yang dihasilkan di negeri Perlis digred sebagai terbaik dalam negara manakala Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) memberi gred sebagai ketiga terbaik di peringkat global. Lihatlah betapa potensi besar yang ada di Negeri Perlis yang mampu dimanfaatkan negara dalam memastikan persediaan negara menghadapi krisis jaminan bekalan makanan dengan baik selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara (2021– 2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Asrul Nizan Abd Jalil

Di samping itu, Perlis juga punya kelebihan apabila tanaman yang mempunyai nilai komersial dan nilai tambah yang tersendiri dan tinggi seperti buah tin, gac, lemon dan zaitun didapati sesuai ditanam di negeri ini yang memerlukan bantuan Pusat untuk merancakkan lagi ekonomi negeri dengan inisiatif tertentu ke arah menggalakkan petani bahkan pemain industri pertanian menceburi dalam penanaman buah-buahan tersebut terutamanya buah tin dan zaitun yang merupakan produk makanan sunnah.


Bela jelapang padi Perlis


Dalam pada itu, adalah menjadi harapan di kalangan para pesawah di kawasan DUN Sena khasnya dan juga di seluruh Perlis amnya agar nasib mereka yang selama ini menjadi ‘hero’ membanting tulang dalam misi menjamin sekuriti makanan negara memerlukan pembelaan Pusat dengan program pemerkasaan sektor penanaman padi negara yang perlu mengambil kira terhadap ancaman krisis perubahan iklim demi kelangsungan kehidupan rakyat yang mana kaum pesawah dikategorikan sebagai golongan miskin.


Justeru, manifesto Pakatan Harapan PRU-15 yang menjanjikan kad subsidi atau e-wallet buat petani tentunya sedikit sebanyak akan menjadi berita baik di kalangan pesawah padi di samping harapan mereka agar pentadbiran baharu di bawah kepimpinan PM ke-10 akan berusaha ke arah menghapuskan monopoli dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas termasuklah dalam industri beras negara bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau (profiteering).


Tubuh semula Lembaga Padi dan Beras Negara


Seterusnya Kerajaan Pusat juga diharap dapat menggerakkan agenda bagi penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negara yang mana ini juga turut merupakan sebahagian daripada harapan besar para pesawah di Negeri Perlis.


Sebagaimana gagasan yang dirangka Datuk Seri Anwar khasnya bagi merancakkan pembangunan wilayah miskin termasuklah negeri Perlis dengan pelan perancangan untuk pembangunan projek solar secara besar-besaran akan direalisasikan di negeri ini dan dalam masa yang sama meneroka potensi bagi prospek pembangunan sektor tenaga hijau yang lain.


Selamat maju jaya kami ucapkan buat PM ke-10 yang kami sandarkan harapan baru untuk negeri Perlis agar mampu berubah ke arah yang lebih baik yang berupaya muncul sebagai negeri yang mampan demi mensejahterakan rakyat Perlis teramai dengan kewujudan peluang ekonomi baharu yang akhirnya membuahkan peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak Perlis.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Perlis. Beliau juga mantan ADUN Sena

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page