'Jadikan Malaysia gemilang kembali'
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 1 min read

"Malaysia adalah sebuah negara kecil, tetapi hari ini kita besar di persada antarabangsa."
Demikian tegas Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin, yang menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur sebagai detik bersejarah yang menandakan kebangkitan semula pengaruh Malaysia di mata dunia.
Menurut beliau, kehadiran pemimpin tertinggi dunia dari pelbagai benua yang berhimpun di ibu negara menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
“Ini tidak kelihatan selama bertahun-tahun. Paling penting, PMX menyempurnakan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.

"Foto ini akan diingati selama bertahun tahun yang akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tze Tzin menegaskan bahawa usaha diplomatik yang diterajui oleh Perdana Menteri bukan sekadar simbol kejayaan diplomasi Malaysia, tetapi juga bukti nyata bahawa Malaysia kembali dihormati dan berpengaruh di rantau ini.
“Selepas bertahun-tahun mundur, PM Anwar telah berjaya membawa Malaysia kembali ke persada antarabangsa.
"Kedudukan antarabangsa dan kehebatan diplomatik beliau adalah penting untuk menjadikan Malaysia hebat semula,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu menambah, hari ini adalah detik yang membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia, apabila negara ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam ASEAN, tetapi juga diiktiraf sebagai kuasa diplomatik ulung yang menjunjung keamanan serantau.





