Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan menyeru agar ahli parti mencontohi ketokohan mantan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai sumber inspirasi untuk kejayaan masa hadapan.
Ketua Wanita KEADILAN Wilayah, Rohaida Mamat berkata, wanita perlu berfkiran lebih besar, mencabar dan bersedia ke arah menjadi pembuat dasar.
"Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah bersetuju memberikan kuota 30% kepada wanita seperti termaktub dalam Perlembagaan bagi penetapan kuota kepimpinan dalam parti.
"Perkara ini amat penting kerana penetapan dasar yang meliputi aspek wanita perlulah wanita diberi ruang (sebagai pembuat keputusan). Wanita juga sudah mendunia.
"Jadikanlah bonda kita, Dr Wan Azizah atau Kak Wan sebagai sumber inspirasi kita, bagaimana seorang yang ditinggalkan suami (terpenjara) terpaksa membesarkan anak-anak menjadi insan yang baik. Beliau juga mencipta sejarah menjadi Timbalan Perdana Menteri Wanita Malaysia yang pertama.
"Wanita dalam politik bukan lagi (berperanan) lipat risalah atau packing barang. Kita adalah sebahagian daripada pembuat keputusan, merangka dasar bagi membina wanita, institusi keluarga dan seterusnya negara," katanya dalam program Lawatan Kerja Ketua Wanita KEADILAN yang melibatkan Wanita Selangor dan Wilayah Persekutuan di Hotel Grand Continental.
Selain itu, beliau turut membariskan beberapa aktiviti yang dijalankan oleh Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan yang berjaya menjimatkan perbelanjaan rumahtangga kumpulan B40 dan meningkatkan daya keusahawanan dalam kalangan wanita.
"Dalam tidak sampai setahun ini kami telah mengadakan program keusahawanan bagi menambahkan sumber pendapatan tambahan buat suri rumah dan golongan B40.
"Antara program keusahawanan adalah program buat sabun sendiri. Ini boleh menjimatkan perbelanjaan rumahtangga kerana proses membuat sabun ini dilakukan dengan barang kitar semula seperti minyak masak terpakai.
"Wanita Wilayah juga mengadakan kelas membuat tempe. Selain dikongsi untuk makanan seisi keluarga mereka juga boleh membuat jualan," katanya lagi.
Comments