Jabatan Wilayah Persekutuan memandang berat tindakan penjaja bazar Ramadan yang menyewakan tapak mereka kepada pihak ketiga termasuk warga asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas penjaja yang melakukan eksploitasi itu selari dengan dasar berterusan yang dilaksanakan agensi terbabit.
"Misalnya kalau pemilik lesen beri kepada orang lain (meniaga) atau tak patuhi kehendak yang diletakkan dalam garis panduan, memang kita akan ambil tindakan.
"Dari segi tindakan, ada yang kita gantung lesen sementara atau ambil terus lesen mereka... lihat juga pada keadaan," katanya dipetik.
Dr Zaliha berkata begitu kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Abdul Razak Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.
Dr Zaliha sementara itu turut mengingatkan penjaja yang menyewa tapak bazar Ramadan supaya mematuhi semua syarat ditetapkan.
Commentaires