Jabatan Wilayah kenal pasti lapan tapak Perumahan Awam Sewa Bersubsidi
- Suara Keadilan

- Aug 29
- 1 min read

Jabatan Wilayah Persekutuan mengenal pasti lapan tapak tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar), berkata PASS diperkenalkan di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 sebagai usaha membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman di ibu negara.
"Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 menetapkan pelbagai strategi termasuk mewujudkan Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar yang dikhususkan untuk pembangunan rumah mampu milik, termasuk perumahan awam.
"Lapan lokasi dikenal pasti ialah Bandar Baru Sentul (0.57 hektar), Taman Desa (7 hektar), pekan Salak Selatan (1.58 hektar), Jalan Selimang, Cheras (1.36 hektar), Tasik Permaisuri (0.41 hektar), Taman Alam Damai (0.45 hektar), Wayfield Sungai Besi (0.82 hektar) dan Taman Desa Seputeh (1.12 hektar)," katanya dipetik pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Khamis.
Beliau berkata, pembangunan projek berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dengan mengutamakan kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Selain itu, katanya, kerajaan turut melaksanakan kerjasama rentas agensi termasuk dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan asnaf memiliki rumah melalui konsep sewa beli.
Kerajaan juga bekerjasama dengan institusi kewangan yang menawarkan pinjaman antara generasi, membolehkan anak-anak membuat pinjaman bagi pihak ibu bapa yang sudah berusia dan tidak layak mendapatkan pinjaman perumahan biasa.
"Kerajaan MADANI menekankan bahawa pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) tidak boleh hanya tertumpu kepada kuantiti semata-mata, tetapi perlu disepadukan dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, ruang hijau dan pengangkutan awam agar persekitaran hidup lebih berkualiti," jelasnya.









Comments