top of page

Jabatan Peguam Negara pinda hak kerakyatan anak lahir luar negara



Oleh: Helmi Mohd Foad


Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan wanita tempatan di luar negara hasil perkahwinan bersama lelaki warga asing di luar negara, kata Menteri Dalam Negeri.


Beliau memberitahu pindaan itu melibatkan Perkara 14(1)(b) bagi memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara perundangan.


"Pada asalnya (pindaan) adalah untuk memasukkan satu perkataan iaitu ibu namun atas nasihat Majlis Raja-Raja bahawa harus ada elemen kawalan kerana apabila kita menerima seseorang anak itu menjadi warganegara melalui pindaan ini, anak itu juga ialah warganegara mengikut kewarganegaraan bapa dan ibunya, bagaimanapun Perlembagaan tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.


"Jadi, apa kita buat adalah dengan meminda fasal berkaitan termasuk memasukkan satu lagi pindaan yang juga sedang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara dengan mencadangkan pada umur 18 tahun anak itu boleh memilih satu kewarganegaraan.


"Kenapa 18? Untuk kita konsistenkan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Umur Dewasa 1971,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai butiran kesemua cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan yang telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.


Saifuddin berkata, sejajar dengan nasihat Majlis Raja-Raja, pemakaian undang-undang itu bersifat ke hadapan dan bukan retrospektif.


"Pindaan ini juga terdapat cadangan supaya pemakaiannya adalah bagi satu generasi ertinya mengambil contoh kes Suriani Kempe, anaknya mengikut kuat kuasa undang-undang ialah warganegara secara automatik tetapi cucunya kelak perlu membuat permohonan kewarganegaraan," katanya.


Pada 14 Disember 2022, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan.


Terdahulu pada 5 Ogos tahun sama, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.


Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page