J-KOM tidak terlibat kempen pemilihan KEADILAN - Ismail
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa agensi itu terlibat dalam kempen politik sempena Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025.
Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusof dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tuduhan kononnya terdapat arahan kepada kakitangan jabatan untuk menyokong kempen pemimpin tertentu melalui tindakan “like”, “share” dan “promote” di media sosial adalah fitnah dan sama sekali tidak berasas.
"Tidak wujud sebarang arahan rasmi seperti yang didakwa. Semua kakitangan J-KOM menjalankan tugas secara profesional dan berintegriti mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Ismail sementara itu turut menegaskan bahawa agensi itu berperanan menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat dan tidak pernah digunakan sebagai alat untuk menyerang mana-mana pemimpin politik.
"Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, kami sentiasa komited menyampaikan maklumat yang tepat, adil dan berimbang demi memperkukuh sistem demokrasi serta kestabilan negara," katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak agar berhenti menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencemarkan nama baik J-KOM.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial dan aplikasi WhatsApp yang mendakwa J-KOM digunakan untuk membantu kempen pihak tertentu menjelang Pemilihan KEADILAN 2025.