Kesimpulan mudah bagi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hujung minggu lalu adalah tahap rasional rakyat Malaysia khususnya di Selatan tanah air masih tinggi.
Meskipun dibadai tsunami gelombang hijau yang membawakan naratif perkauman dan agama sempit namun menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, rakyat kali ini tidak termakan propaganda PN.
"Ini satu isyarat bahawa rakyat boleh rasional dan membuat keputusan berdasarkan perkara penting bagi kawasan mereka dan juga untuk masa hadapan
"Bukan hanya untuk emosi dan perasaan (di atas isu Melayu)," katanya kepada Suara Keadilan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ledang itu tetap gusar dengan peratusan keluar mengundi yang amat rendah di Pulai, di bawah 50%.
Katanya, satu post mortem perlu dilakukan apakah punca keluar mengundi yang rendah atau pun sama ada penerangan tidak sampai kepada rakyat di akar umbi.
"Kita tak nak terlebih yakin. Sebenarnya masih ramai tak keluar (mengundi). Peratus di Pulai itu sangat rendah. Jadi mungkin tak keluar itu adalah penyokong kita juga. Sentimen itu kita perlu ambil kira. Ada isu kita kena tangani dan terangkan lagi
"Bagi saya patut peratusan di Pulai berdasarkan prestasi sebelum dan sekarang sepatutnya lebih tinggi (selepas kejayaan polisi Rahmah) kalau peratus keluar mengundi lebih banyak.
"Di Simpang Jeram saya rasa munasabah tetapi maksudnya kita tidak boleh ambil mudah," katanya lagi.
PRK parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan dua calon Pakatan Harapan Suhaizan Kayat dan Ir Nazri Abdul Rahman menang di kawasan berkenaan, sekali gus menyekat kemaraan gelombang hijau yang dikatakan tidak boleh hentikan sejak Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.
Comments