Isu TRM: Skrip pembangkang salahkan kerajaan kurang menjadi
- Redzuan Shamsudin
- Apr 5, 2023
- 2 min read

Isu Tanah Rizab Melayu (TRM) yang kontroversi sehingga mahu merujuk Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menunjukkan niat pembangkang dari awal untuk menyalahkan kerajaan.
Nik Nazmi dalam sidang media Perdana Menteri siang tadi menjelaskan bahawa fakta yang beliau bangkitkan dalam jawapannya di Dewan Rakyat minggu lalu adalah tepat berdasarkan data yang diberikan oleh Pejabat Tanah dan Galian negeri Kedah.
"Kementerian Sumber Asli ingin merujuk kepada soal TRM di Kedah yang menjadi polemik akhir akhir ini. Sebagaimana yang telah saya maklumkan semalam, saya telah menghantar surat bertarikh 4 April kepada Speaker bagi menjawab usul yang ingin membawa saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mana secara jelas saya menyatakan jawapan saya ini adalah jawapan yang disediakan oleh Ketua Pengarah tanah dan Galian yang mana mereka mengumpul data TRM setiap tahun dari Pentadbir Tanah Negeri
"Saya telah menunjukkan surat terakhir yang dihantar dari Kedah bertarikh 30 November 2022, yang mana jumlah TRM yang disebut sama dengan jawapan parlimen
"Dakwaan negeri Kedah ada penambahan selepas itu pada 2023, jadi data itu tidak sampai ke peringkat Kerajaan Persekutuan," katanya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata beliau mengesan terdapat perancangan untuk menggunakan isu TRM berkenaan bagi menghentam kerajaan kononnya kurang menjaga kepetingan Melayu berdasarkan isu yang ditimbulkan dalam soalan tambahan Ahli Parlimen Maran.
"Bila saya menjawab secara keseluruhan TRM meningkat, YB Maran ketika itu bangun dan membangkitkan hak Melayu terancam.
"Jadi dia ada skrip. Bila skrip tak boleh fit dalam naratif yang mereka nak mainkan, jawapan yang kita berikan itu, maka mereka terperangkap sendiri.
"Sebab negeri yang paling ketara hilang TRM dalam tempoh 2021 - 2022 ialah Kedah. Sebab itu mereka cuba saya alihkan perhatian dari perkara tersebut," katanya lagi.
Dalam perbahasan minggu lalu Nik Nazmi mendedahkan data menunjukkan Tanah Rizab Melayu meningkat di seluruh Semenanjung namun di Kedah menurun dari 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar bagi tempoh 2021 hingga 2022.
Jawapan itu membawa kepada tuduhan pembangkang bahawa Menteri cuba berbohong mengenai jumlah sebenar apabila kerajaan Kedah mengeluarkan senarai terbaharu keluasan TRM pada 2023.
Comments